Sejauh mana ketulusan pengambilan pekerjaan?

Baru-baru ini saya ada memohon jawatan kosong bergaji hari. Dengan harapan kali ini diberi peluang untuk menduduki ujian bertulis setelah sekian lama ditolak permohonan beberapa kali.

Namun, harapan hanya tinggal harapan. Jawatan kekosongan telah diisi yang pada pendapat saya, secara tidak adil. Bukan memfitnah tetapi dengan telinga saya sendiri secara tidak sengaja mendengar perbualan sesebuah jabatan atau kementerian di mana saya menghantar permohonan tersebut.

Apa yang saya dengar jawatan tersebut sudah dikhaskan untuk seseorang (orang yang telah menjawat jawatan tersebut). Apa yang menguatkan pernyataan saya ini, orang yang terpilih itu merupakan salah seorang kenalan saya, dan dia sendiri menghebohkan bahawa dia sudah mendapat pekerjaan di kementerian itu.

Malah salah seorang saudara saya sendiri yang menjalani ujian bagi kekosongan itu merasa hairan dan tidak ada keadilan yang terjadi. Ini kerana orang yang terpilih itu dikhabarkan mendapat jawatan tersebut sehari selepas ujian tersebut. Hairan… Macam mana boleh dalam masa tidak sampai sehari ujian boleh diperiksa sedangkan calon begitu ramai. Tidak ada calon terpilih untuk temu duga? Justeru, dirinya terpilih tanpa temu duga?

Adakah banyak pengalaman atau sumbangan kepada negara menjadi ‘pasport’ untuk dirinya mendapat jawatan tersebut? Mana keadilan pihak jabatan atau kementerian? Kalau benar jawatan itu sudah dikhaskan untuk seseorang tidak perlu mengiklankannya, cukup beri surat tawaran kepada orang yang terpilih itu.

Kami pencari kerja terasa teranaiya dengan perilaku tersebut. Kami bersusah payah menghantar permohonan dan membuat ulangkaji dengan harapan mendapat pekerjaan tersebut, tahu-tahu sudah dikhaskan untuk seseorang.

Sampai bila kami diperlakukan begini? Umur kami bukan semakin lama semakin muda, tenaga pun berkurangan. Siapa yang mahu mengambil pekerja yang kurang bertenaga. Malahan semakin lama semakin ramai graduan baharu selepas kami. Bukan kami tidak mencari pekerjaan di tempat lain dan berusaha melakukan pekerjaan lain. Tetapi sampai bila ketidakadilan dalam pengambilan pekerja tetap berlaku.

Kami harap pihak-pihak tertentu pantau bahagian pengambilan pekerjaan di jabatan atau kementerian dan pihak swasta. Beri kami peluang mencuba nasib kami untuk menduduki ujian dan temu duga kerana kelulusan dan kelayakan kami. Tidak semestinya orang yang tidak nampak di kaca TV atau di surat khabar kerana sumbangan dan baktinya kepada negara tidak mampu atau tidak layak menjawat jawatan tersebut.

SZS