Oleh Ainul Huda Mohamed Saaid
KUALA LUMPUR – Meskipun sudah dianugerahi hadiah tertinggi untuk para saintis iaitu Hadiah Nobel dalam Fizik, Profesor Robert B. Laughlin masih belum puas dengan pencapaiannya itu.
Beliau baru-baru ini berada di Malaysia bagi program Inisiatif untuk Sains dan Kejuruteraan anjuran Honeywell. Sewaktu berada selama seminggu di negara ini, beliau berkongsi pandangannya mengenai pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) pada satu forum yang diadakan di Kuala Lumpur. Beliau turut menyampaikan ceramah umum di UniversitiTeknologi Petronas, di Seri Iskandar, Perak.
Ceramah beliau bertumpu kepada tugasnya di Brayton Battery dan ia dihadiri lebih 2,000 orang, yang sebahagian besarnya pelajar. Beliau menggalakkan para pelajar memburu impian mereka meskipun terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah.
Dalam satu wawancara dengan Bernama, Laughlin berkongsi lebih banyak pandangan mengenai pendidikan serta maklumat mengenai masyarakat saintis.
Kaedah pendidikan
Beliau yang pada masa ini mengendalikan dua kursus di School of Humanities and Sciences, Stanford University di California, Amerika Syarikat, berkata berdasarkan pengalaman mengajarnya, proses pendidikan adalah kombinasi kebebasan dan disiplin.


“Kaedah terbaik berbeza dari seorang kepada seorang yang lain kerana setiap manusia itu berlainan. Sebagai contoh, setiap kali saya cuba menggunakan kaedah saintifik untuk mengajar anak saya atau pelajar-pelajar saya, saya selalu gagal. Anak saya, mereka selalu melakukan sesuatu yang berlawanan daripada apa yang saya hendak,” kata beliau sambil menambah, pendidikan itu adalah gabungan kerja dan kreativiti.
Beliau berpendapat sistem pendidikan adalah institusi sosial dan keberkesananya bergantung sebaik mana pendapatan cukai diuruskan. “Macam mana cara untuk mendapatkan sistem pendidikan yang lebih baik ialah dengan mempunyai orang yang baik berinteraksi dengan anak anda, bayar mereka secukupnya agar mereka kekal bekerja dan beri arahan yang berpatutan tentang apa yang mereka perlu lakukan, ” kata Laughlin.
Isteri beliau, Anita Perry adalah seorang guru sekolah dan penulis. Pasangan ini mempunyai dua orang anak lelaki, Nathaniel, 39, dan Todd, 32.
Minat Sains
Menurut profesor ini, minatnya dalam sains boleh dikatakan berpunca daripada ayahnya. Walaupun ayahnya seorang peguam tetapi beliau amat berminat dalam bidang matematik.
Ayahnya mula berminat dalam bidang sistem komunikasi radio semasa Perang Dunia Kedua dan mahu menjadi jurutera tetapi akhirnya beliau mengambil jurusan undang-undang.
“Beliau tak tahu banyak tentang matematik tetapi selalu membaca dan menggalakkan sesiapa sahaja untuk berbuat yang sama. Apa yang berlaku semasa kecil apabila kereta api sampai, beliau tidak menaiki kereta api itu, jadi saya yang lakukan untuknya. Anda boleh kata saya naik kereta api itu bagi pihak ayah saya yakni menjadi ahli sains,” kata Laughlin.
Dilahirkan di Visalia, California, Amerika Syarikat, Laughlin mula berminat dalam gajet teknikal dari kecil lagi.
Pantang jumpa perkakas rumah, beliau akan membuka bahagian perkakas dan kalau ada yang rosak, dia akan cuba membaikinya. Ada kalanya beliau membuat uji kaji sains sendirian sehinggakan beliau pernah hampir kehilangan tangan kanannya.
Laughlin berkata beliau hampir-hampir menjadi jurutera elektrik tetapi menukar bidang pengkhususannya kepada fizik ketika beliau memperoleh biasiswa di Berkeley.
“Puncanya saya jumpa orang yang bagus dalam bidang fizik semasa belajar di Berkeley. Dan saya suka mereka kerana mereka pemikir hebat dan mempunyai minat yang besar dalam banyak perkara dan sering memikirkan masalah. Saya berfikir saya mahu menjadi seperti mereka,” katanya.
Semasa belajar di kolej, Laughlin pernah bertemu dan berbual dengan ahli sains tersohor Charles Townes, pemenang Hadiah Nobel untuk ciptaan laser dan Owen Chamberlain yang memenangi Hadiah Nobel untuk penemuan ‘antiproton’.
Laughlin bercita-cita untuk menjadi Theoretical physicist tetapi terpaksa menangguhkan hasratnya itu demi berkhidmat untuk negara. Beliau menyertai tentera ketika Perang Vietnam pada tahun 1960an. Selepas dua tahun berkhidmat dalam pasukan tentera, Laughlin meneruskan pengajiannya di Massachusetts Institute of Technology sehingga memperoleh PhD dalam bidang fizik.
Kehidupan ahli sains dan cabarannya
Menurut Laughlin, beliau bekerja di makmal serta institusi yang berlainan, iaitu Bell Telephone Laboratories dan Lawrence Livermore National Laboratories. Beliau kemudiannya ke Stanford untuk bidang penyelidikan dalam kesan fractional quantum hall yang akhirnya membuatkan beliau serta ahli pasukannya meraih Hadiah Nobel pada 1998.
Beliau juga pernah menjadi Presiden Advanced Institute of Science and Technology Korea (KAIST) untuk selama dua tahun. Berdasarkan pengalamannya bekerja di tempat yang berlainan, Laughlin berkata setiap institusi adalah unik dan mempunyai nilainya yang tersendiri. Beliau juga mengakui masing-masing ada kelemahannya. “Saya suka sains, saya suka jadi guru sains dan bekerja dengan orang muda. Saya suka membuat penyelidikan tetapi tak suka merayu kepada kerajaan untuk mendapatkan dana,” katanya.
Dalam soal penyelidikan saintifik, Laughlin berkata ianya bukan setakat orang faham dengan apa yang hendak dilakukan tetapi juga bagaimana untuk menyakinkan satu-satu pihak memberi dana yang anda perlukan supaya anda boleh meneruskan usaha itu. “Ada kalanya ia bukan setakat berkongsi idea tetapi siapa yang dapat melakukannya. Persaingan akan berlaku untuk mendapat dana,” tegasnya.
Satu lagi cabaran adalah bagaimana untuk bekerja dengan sekumpulan orang yang masing-masing mempunyai idea sendiri, katakan untuk membuat sesuatu daripada peringkat awal. Ada masanya proses ini mengambil masa yang lama kerana ada yang tidak bersetuju dengan perkara tertentu.
“Sebahagian daripada seni sains ialah mencari bahagian idea yang salah dan untuk mencari idea anda yang salah ini paling sukar dilakukan. “Kita saling bekerjasama dan ada kalanya kita akan bertengkar, dan perlahan-lahan kita akan dapat apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh dibuat,” katanya.
Usaha terakhir
Laughlin, yang akan mencapai usia 68 tahun November ini mahu melakukan satu lagi usaha saintifik yang lebih penting sebelum bersara. Apa yang menarik ahli fizik ini mahu meneroka bidang biologi pula.
Beliau berkongsi tentang perkara yang menjadi tumpuannya, “Ada satu persoalan yang ingin saya rungkai iaitu bagaimana benda hidup menentukan saiznya?” “Bagaimana badan anda menentukan apa saiz tubuh anda, bagaimana ia membentuk, itu satu
soalan yang masih belum terjawab,” kata ahli sains tersohor ini mengakhiri wawancara dengan Bernama. – Bernama