Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar serahan JKED
KUALA BELAIT, 5 APRIL – Sejumlah 21,388 barangan tegahan, wang tunai dianggarkan sebanyak $3,000 dan enam buah kenderaan serta sebuah telefon bimbit telah berjaya dirampas oleh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dalam gerakan operasi Bahagian Penguat kuasa Undang-undang di kawasan Jalan Singa Menteri baru-baru ini.
Menurut kenyataan dikeluarkan JKED di sini hari ini, seorang lelaki warga tempatan berusia 26 tahun telah ditahan dalam operasi itu atas kesalahan memiliki barang-barangan tegahan tersebut.
Antara barangan yang dirampas ialah 10,974 karton rokok pelbagai jenis, 10,368 tin dan 46 botol minuman keras pelbagai jenis, wang tunai berjumlah $207, SG$379 dan RM6,651 serta enam buah kereta dan telefon bimbit dipercayai digunakan untuk kegiatan penyeludupan.
Kesemua barang-barang tegahan tersebut dan individu terlibat telah dibawa ke Pejabat Penguatkuasa Undang-Undang untuk siasatan lanjut.
Sehubungan itu, JKED menasihatkan kepada orang ramai agar sentiasa mematuhi mana-mana perundangan negara ini dan menghindari kegiatan-kegiatan penyeludupan atau membawa masuk dan keluar barang-barang tegahan, sekatan dan juga larangan kastam.
Memiliki barang-barang tegahan kastam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 146, Perintah Eksais 2006.
JKED turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang telah memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan kegiatan yang menyalahi perundangan dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh JKED.
Pihak JKED juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.



