Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sejumlah $272,000 wang agihan zakat diserahkan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MEI – Sejumlah $272,000 agihan kewangan daripada Kumpulan Wang Zakat Asnaf Mualaf yang dikeluarkan oleh Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) telah diserahkan kepada Syarikat Darussalam Services Sdn Bhd bagi mencukupkan bayaran pakej haji kepada 20 orang saudara baharu yang akan menunaikan ibadah haji bagi tahun ini.

    Majlis Penyerahan Bayaran Pakej dan Penyampaian Agihan Wang Saku anjuran Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal telah diadakan di Dewan Multaqa, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan selaku Naib Yang Di-Pertua MUIB.

    Saudara-saudara baharu yang terpilih dan memenuhi syarat-syarat berkenaan telah dikurniakan Tambang Haji Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi menunaikan ibadat fardu haji tahun ini.

    Setiap seorang dikurniakan tambang haji menurut kadar yang diberikan kepada pegawai-pegawai kerajaan iaitu sebanyak $4,500.

    Dalam pada itu, agihan kewangan sebanyak $2,000 bagi perbelanjaan persendirian (wang saku) turut diberikan kepada setiap penerima, yang mana agihan kewangan berkenaan juga diambil daripada Kumpulan Wang Zakat Asnaf Mualaf.

    Kurnia tambang haji dan agihan wang zakat daripada Peruntukan Zakat Asnaf Mualaf berkenaan diharap akan dapat mengukuhkan lagi iman saudara-saudara baharu serta dapat meningkatkan penghayatan ajaran agama Islam mereka dengan lebih sempurna.

    Semoga mereka akan dapat melaksanakan ibadah Haji dengan penuh kesabaran dan takwa serta sentiasa di bawah perlindungan dan pemeliharaan serta keampunan daripada Allah SWT dan mendapat haji yang mabrur.

    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim semasa menyerahkan wang agihan zakat tersebut kepada Syarikat Darussalam Services Sdn Bhd. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim semasa menyampaikan wang agihan kepada penerima. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda