KUALA LUMPUR, 3 MEI – Sejumlah 500 perniagaan keluarga terbesar di dunia menjana hasil AS$8.02 trilion dan menggaji 24.5 juta orang di seluruh dunia merentasi 47 bidang kuasa, menjadikannya sebagai ekonomi negara ketiga terbesar mengikut hasil, di belakang AS dan China.
Ernst & Young (EY) Consulting Sdn Bhd dalam satu kenyataan berkata daripada 500 perusahaan keluarga itu, 17 adalah dari Asia Tenggara, termasuk empat dari Malaysia dan Thailand, lima dari Filipina dan dua dari Indonesia dan Singapura. Mereka mengupah hampir 850,000 orang dengan purata umur ahli lembaga pada 62 tahun.
Pemimpin perusahaan keluarga EY Asean, Low Bek Teng berkata ini menekankan keperluan bagi perusahaan keluarga Asia Tenggara untuk meneliti pembaharuan ahli lembaga dan peralihan kepada generasi muda, dan perlu dilakukan dalam beberapa tahun akan datang.
Apabila saiz perusahaan ini berkembang dan berdepan kerumitan, pelan penggantian yang baik menjadi penting kerana terdapat kes perusahaan keluarga menghadapi cabaran tadbir urus atau konflik dalaman apabila beralih kepada generasi seterusnya.
“Oleh itu, menjalankan perancangan penggantian lebih awal dan berkomunikasi secara kerap untuk mengurus perbezaan akan membantu memastikan kelangsungan jangka panjang syarikat,” katanya. – Bernama