SANDAKAN, 30 Mac – Suruhanjaya Tenaga merampas alat pemadan elektrik bernilai RM4,000 yang tiada kelulusan Sirim dalam pemeriksaan di enam premis di sini, hari ini.
Pengarah Kawasan Suruhanjaya Tenaga Pantai Timur Sabah Mohd Yusrul Yusof berkata tanpa kelulusan Sirim dan sijil kelulusan Suruhanjaya Tenaga, alat pemadan itu tidak selamat digunakan oleh pengguna.
Katanya adalah menjadi kesalahan untuk mana-mana premis menjual peralatan elektrik tanpa label ‘Sirim/St’ atau ‘Sirim/Eiu’ mengikut Peraturan 97 dan Peraturan 98 Peraturan-Peraturan Elektrik 1994.
“Suruhanjaya Tenaga mengawal 34 kategori kelengkapan elektrik di bawah peraturan tersebut,” katanya ketika ditemui dalam operasi itu yang turut disertai pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan cawangan Sandakan.

Beliau berkata sebelum pemeriksaan dilakukan, pihaknya telah mengeluarkan notis kepada premis terbabit untuk tidak menjual alat pemadan elektrik yang tiada kelulusan Sirim.
Katanya tindakan merampas alat pemadan itu dilakukan kerana premis tersebut masih menjualnya.
Mohd Yusrul berkata alat pemadan elektrik itu yang diimport dari luar negara dipercayai dapat melepasi pemeriksaan Kastam sama ada diisytiharkan sebagai barang lain atau diseludup masuk ke negara ini. – Bernama