AMERIKA SYARIKAT, 18 APRIL – Lebih daripada satu juta kanak-kanak di Haiti sedang mengalami kekurangan makanan yang amat kritikal, akibat keganasan berterusan, perpindahan secara paksa dan akses terhad kepada bantuan kemanusiaan, menurut agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) kelamrin.
“Kami sedang berdepan situasi di mana ibu bapa tidak lagi mampu menyediakan penjagaan dan pemakanan kepada anak-anak mereka akibat keganasan yang berterusan, kemiskinan tegar dan krisis ekonomi yang berpanjangan,” kata wakil UNICEF di Haiti, Geeta Narayan dalam satu kenyataan.
Tambahnya, kebanyakan kawasan di Haiti berlaku keganasan bersenjata,mencetuskan ‘krisis nutrisi dalam kalangan keluarga’.
Sejak awal tahun 2025, UNICEF dan rakan-rakannya telah merawat lebih 4,600 kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan akut, iaitu hanya 3.6 peratus daripada 129,000 kanak-kanak yang dianggarkan memerlukan rawatan menyelamatkan nyawa tahun ini.
Menurut Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) yang digunakan oleh badan bantuan antarabangsa, kira-kira 2.9 juta kanak-kanak ‘sedang berdepan tahap ketidakjaminan makanan yang tinggi secara berterusan di seluruh negara’ iaitu kira-kira seorang daripada empat kanak-kanak di Haiti.
Menurut UNICEF, keganasan juga menyekat akses kepada rawatan kesihatan, termasuk rawatan penting yang menyelamatkan nyawa, sekali gus meningkatkan risiko kanak-kanak terdedah kepada pelbagai bentuk kekurangan zat makanan dan penyakit yang boleh dicegah.
Di bandar Haiti, Port-au-Prince, kurang daripada separuh kemudahan kesihatan beroperasi sepenuhnya, dengan dua daripada tiga hospital awam utama ‘tidak lagi berfungsi’.
“Ketika keperluan semakin terdesak, tindak balas semakin terjejas akibat kekurangan dana,” tegas UNICEF.
Program pemakanan UNICEF adalah sebahagian daripada rayuan Tindakan Kemanusiaan Untuk Kanak-kanak yang kini kekurangan 70 peratus daripada jumlah dana yang diperlukan. – AFP
