Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Dalam usaha pihak sekolah untuk meningkatkan keputusan dan pencapaian akademik yang cemerlang dalam peperiksaan PSR 2025, Sekolah PGGMB Sungai Akar tidak ketinggalan mengadakan ceramah motivasi kepada murid-murid yang akan menduduki PSR yang akan bermula pada 9 hingga 14 Oktober nanti.
Sehubungan itu, seramai 30 murid bersama ibu bapa dan penjaga telah menghadiri ceramah motivasi yang berlangsung di Sekolah PGGMB Sungai Akar, baru-baru ini.
Ceramah yang membawa tajuk Pecutan Akhir Menghadapi PSR 2025 telah disampaikan oleh penceramah undang iaitu Kaunselor, Sekolah Menengah Pengiran Isteri Hajah Mariam, Cikgu Izura binti Haji Ismail.
Dalam ceramahnya, beliau telah mengongsi beberapa tips dalam menghadapi peperiksaan PSR yang mana antara tips yang diketengahkan ialah jadual ulang kaji harian, peranan ibu bapa dan penjaga dalam membantu proses pembelajaran anak-anak, membuat latihan dan menjawab soalan-soalan peperiksaan lepas, menjaga emosi dan tekanan diri sebelum menghadapi peperiksaan serta menyediakan peralatan untuk peperiksaan.
Hadir semasa sesi motivasi berkenaan ialah Yang DiPertua PGGMB, Haji Mustapa bin Haji Masri; Pengerusi Tetap PGGMB, Hajah Hanipah binti Haji Apong; Timbalan Setiausaha Agung (Dalam Negeri), Haji Abu Bakar bin Haji Suhaili; Timbalan Setiausaha Agung (Luar Negeri), Haji Yahya bin Haji Mirassan; Guru Besar Sekolah PGGMB Sungai Akar, Cikgu Maswati Airi Patrah binti Ahmad serta para guru, ibu bapa dan penjaga.
Cikgu Maswati Airi Patrah ketika mengulas mengenai ceramah motivasi berkenaan menyatakan bahawa ia adalah amat baik dan sangat berfaedah bagi murid-murid untuk memberikan inspirasi serta rangsangan bagi mereka meraih keputusan peperiksaan yang cemerlang dalam Peperiksaan PSR 2025.
Ceramah itu, tambahnya, banyak memberikan idea dan teknik yang bersesuaian kepada para murid apabila mereka menghadapi peperiksaan nanti.





