Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Pelajar-pelajar Sekolah Tunas Jaya Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) Kampung Madang yang berjaya mendapatkan keputusan cemerlang dan menamatkan pengajian mereka telah diraikan dalam Majlis Konvokesyen 2024 yang berlangsung di Dewan Sekolah PGGMB Sungai Akar, baru-baru ini.
Hadir untuk menyempurnakan penyampaian anugerah dan sijil kepada para pelajar yang diraikan ialah Yang Dipertua PGGMB, Haji Awang Abdul Alim bin Haji Awang Othman.
Dalam ucapan alu-aluannya, Guru Besar STJ PGGMB Madang, Cikgu Ismail bin Haji Tia mengongsi perancangan-perancangan sekolah sepanjang 2024 yang menumpukan kepada usaha mengenal pasti kelemahan pelajar di sepanjang persekolahan dengan meningkatkan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) pada peringkat usia awal.
Keselesaan dan kemudahan perpustakaan sekolah juga telah dinaiktaraf untuk meningkatkan minat membaca murid-murid.
Menurutnya lagi, pihak sekolah akan terus mengekalkan keceriaan kawasan persekitaran sekolah dengan membina taman mini supaya kawasan sekolah dalam keadaan ceria dan bersih.
Cikgu Ismail juga turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada guru-guru atas tanggungjawab dan komitmen mereka serta ibu bapa murid kerana memberikan kerjasama dengan pihak sekolah.
Acara kemuncak majlis ialah penyampaian sijil-sijil penghargaan dan pengiktirafan kepada enam murid yang berjaya memperoleh 5A dalam Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) 2024.
Tahun ini, Sekolah STJ PGGMB Madang memperoleh keputusan cemerlang dengan 93 peratus lulus daripada seramai 31 calon. Selain itu, murid-murid yang menunjukkan kecemerlangan dalam beberapa kegiatan dan bidang yang lain juga turut menerima hadiah-hadiah pengiktirafan.
Majlis konvokesyen berkenaan turut meraikan murid-murid kelas Tadika 3 yang telah menamatkan pendidikan Tadika dengan penyampaian sijil dan hadiah oleh Haji Abdul Alim. Majlis turut diserikan dengan persembahan pentas oleh murid-murid.