Sunday, May 11, 2025
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sekali ke Krabi, pasti nak pergi lagi

    Oleh Remar Nordin

     

    KRABI – Air laut yang jernih dan pasir pantai yang halus memutih serta persekitaran yang mendamaikan, begitulah indahnya pulau-pulau di Krabi yang terletak di selatan Thailand. Maka tidak hairanlah sekiranya CNN Travel meletakkan pantai destinasi pelancongan ini yang menghadap Laut Andaman di tangga ke-55 daripada 100 pantai tercantik di dunia.

    Penulis yang berkesempatan berkunjung ke Krabi  dan pekan lain di bawah Program Jelajah Zeromile Kelab Media Johor begitu teruja melihat keindahan pulau ditambah dengan penduduk  tempatan yang mesra  pelancong dan kebanyakannya boleh berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.

    Program jelajah ini adalah salah satu inisiatif kelab berkenaan untuk meninjau kelebihan yang ada di pusat peranginan itu yang boleh dikembangkan di pusat pelancongan dalam negeri. Bagaimanapun, mereka yang mahu melancong ke Krabi mahu pun bandar-bandar lain di Thailand perlu tahu sepanjang Oktober hingga Mac adalah waktu puncak kerana cuti sekolah.

    Ada pelbagai cara untuk sampai ke Krabi, antaranya menaiki kapal terbang dari Terminal Lapangan Terbang Subang yang mengambil masa selama satu jam 30 minit atau menaiki bas dari Johor Bahru yang memakan masa lebih kurang 15 jam seperti yang penulis lalui.

    Perjalanan ke Krabi

    Perjalanan kami bermula daripada kilometer sifar di hadapan bangunan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) pada waktu malam dan sambil lena dibuai mimpi, kami mengharungi perjalanan lebih 800 kilometer yang memakan masa kira-kira 15 jam. Selepas melewati Kompleks Kastam Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Kompleks Imigresen Sadao, kami akhirnya tiba di destinasi pertama kami di Taman Perkampungan Budaya Asia di Danok.

    Anggota Kelab Media Johor (KMJ) terpaksa berbaring di dalam sampan ketika menyusuri Gua Batu Kapur Gua Le Khao Kob sejauh 350 meter di Karabi Thailand pada Jelajah Zeromile Kelab Media Johor baru-baru ini. – Bernama
    Sebarisan replika gajah turut mengamit para pelancong ketika melawat ke kawasan Trang Andaman Gateway Karabi Thaliland pada Jelajah Zeromile Kelab Media Johor baru-baru ini. – Bernama

    Sehebat i-City di Shah Alam, Selangor, taman perkampungan itu dibina khas untuk aktiviti malam hari dengan setiap patung dan jalan dihiasi dengan lampu-lampu LED berwarna-warni selain taman-taman haiwan untuk pengunjung yang mahu melawat pada siang hari. Kami kemudiannya bertolak ke Hatyai dan bermalam sebelum meneruskan perjalanan ke Krabi pada keesokan harinya.

    Keliling empat pulau

    ???????Salah satu pakej popular di Krabi adalah ‘pakej empat pulau’ yang mana pelancong akan dibawa melawat empat buah pulau yang terletak kira-kira 30 minit dari jeti pantai Nophatara.

    Lokasi pertama adalah Pantai Railay yang terletak di hujung timur tanjung Phra Nang, yang terkenal dengan ‘Gua Puteri Phra Nang’ yang popular dengan kisah mitosnya.

    Kisah mitos pulau ini berkaitan dengan puteri bernama Phra Nang yang ingkar akan arahan bapanya untuk berkahwin dengan seekor ular gergasi, meskipun akhirnya puteri itu terpaksa patuh apabila ular itu mengugut untuk membunuh seluruh rakyat jelatanya sekiranya tidak mahu berkahwin dengannya.

    Bagaimanapun, pada malam perkahwinan mereka, sang puteri bertindak menikam ular berkenaan. Sang puteri kemudian disumpah menjadi batu manakala tulang-temulang ular gergasi berkenaan pula dikatakan punca terjadinya pulau-pulau di sekitar Krabi.

    Pulau Tub, destinasi kedua kami mempunyai tarikan tersendiri iaitu ‘laluan’ sepanjang 200 meter yang membolehkan pengunjung berjalan kaki ke Pulau Ayam, yang terletak bersebelahan. Pulau Ayam adalah destinasi ketiga di mana pengunjung boleh membuat aktiviti snorkeling.

    Pengunjung bagaimanapun tidak dibenarkan memberikan makanan kepada ikan-ikan di kawasan ini untuk menjaga populasi ekosistem di kawasan berkenaan. Pulau terakhir yang kami kunjungi ialah Pulau Poda, yang mana kami berehat untuk makan tengah hari sebelum pulang ke pantai Nophatara.

    Berkayak di Sungai Tran

    ??????Dari laut, kembara kami diteruskan ke Tran Thong, di Satun, untuk aktiviti kayak. Sungai Tran Thong sangat sesuai bagi aktiviti kayak ini kerana aliran air sungai yang terkadang deras dan terkadang tenang selain rintangan batu dan akar pokok semula jadi.

    Anggota Kelab Media Johor bergambar sebaik tiba pada Zeromile (0KM) di Karabi Thailand pada Jelajah Zeromile Kelab Media Johor baru-baru ini. – Bernama

    Pengalaman penulis berkayak di laut sama sekali tidak boleh digunakan ketika berkayak di sungai.

    Meskipun kayak yang dinaiki terbalik tiga kali, penulis tetap kental meneruskan dayungan sejauh tiga kilometer. Penat lelah aktiviti kayak kemudian ‘dibayar’ dengan ganjaran durian Thailand yang kebetulan sedang bermusim, dipadankan dengan air jus yang dibuat daripada Bunga Seri Pagi, sekaligus menghilangkan rasa penat dan menutup rangkaian aktiviti di Thailand.

    Industri pelancongan di Thailand buka mata

    Pengembaraan di Selatan Thailand kali ini banyak membuka mata penulis yang terdetik membuat perbandingan dengan perkhidmatan pelancongan yang terdapat di tanah air.

    Misalnya aktiviti memberikan makan kepada burung helang di Kilim Geoforest Park, Langkawi, berharga  RM250 untuk aktiviti yang tidak sampai satu jam berbanding harga yang lebih kurang sama untuk mengelilingi empat buah pulau di Krabi.

    Selain itu, rangkaian jaringan telekomunikasi yang sangat laju di setiap pulau yang terdapat di Krabi yang sering mendapat 4G sedangkan kadang kala, bila berada dalam bangunan penyedia perkhidmatan rangkaian sekalipun hanya mampu menerima signal 3G.

    Penulis yang berasal dari Semporna, Sabah juga melihat setiap pemandu pelancong atau penyedia perkhidmatan pelancongan tidak lokek membantu pelancong yang lain meskipun pelancong berkenaan tidak membayar perkhidmatan mereka.

    Pulau Perhentian Kecil disenaraikan sebagai pantai ke-13 tercantik di dunia mengalahkan Pulau Phi Phi Thailand di tempat ke-19 dan Hanalei Bay di Pulau Hawaii di tempat ke-27, namun begitu sebut sahaja isu sampah dan jaringan rangkaian, membuatkan kita terus jauh ketinggalan.

    Pengusaha pelancongan di negara Malaysia boleh mencontohi semangat orang Thailand bukan sahaja dalam menguruskan produk pelancongan mereka tetapi memeliharanya supaya ia dapat dinikmati untuk generasi masa hadapan.

    Malaysia bukan kekurangan dari segi tarikan tempat pelancongan dan budaya yang menarik tetapi masih banyak yang perlu dipelajari dengan negara jiran dalam usaha memelihara produk pelancongan untuk berada di tahap yang boleh dibanggakan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda