Pelakon Indonesia iaitu Sekar Arum Widara ditahan pihak polis atas dakwaan menggunakan wang palsu ketika membeli-belah.
Balai Polis Jakarta Selatan dalam kenyataan kepada media memaklumkan Sekar, 41, ditahan pada 2 April lalu selepas didapati menggunakan wang palsu di sebuah pusat beli-belah di Kemang, Jakarta Selatan.
“Ketika membuat pembayaran, juruwang memeriksa wang diberikan menggunakan imbasan sinar UV sebelum mendapati ia palsu.
“Transaksi pembelian dibatalkan sebelum pengawal keselamatan membuat laporan polis,” ujar wakil polis memetik laporan mStar.
Ketika ditahan, polis turut menemui wang palsu berjumlah RM59,000 dalam beg miliknya.
Sekar dikatakan berjaya melakukan pembelian di sebuah kedai lain dan dia kembali ke premis sama beberapa jam kemudian.
Bagaimanapun percubaan ketiga tidak berjaya apabila dia membayar dengan menggunakan wang kertas Rp100,000 sebanyak 11 keping.
Jika disabitkan kesalahan, Sekar boleh dikenakan hukuman penjara selama 15 tahun. – Agensi
