KUALA LUMPUR, 30 Nov – Undian pada 28 Nov 2017 oleh Jawatankuasa Industri, Penyelidikan dan Tenaga (ITRE) Parlimen Kesatuan Eropah (EU) untuk mengesahkan sekatan biofuel minyak sawit di Eropah, di bawah Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui EU (RED) adalah satu langkah ke belakang dalam hubungan perdagangan EU-Malaysia. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata kerajaan terpaksa mengambil segala tindakan sewajarnya untuk melindungi hak 650,000 pekebun kecil dan menjamin masa depan sektor minyak sawit yang telah mengeluarkan jutaan rakyat Malaysia daripada kemiskinan.
“Langkah untuk mengecualikan biofuel sawit dari tenaga diperbaharui EU adalah langkah ke belakang bagi hubungan perdagangan EU-Malaysia.
“Bersama-sama dengan undian daripada Jawatankuasa Alam Sekitar Eropah (ENVI) pada Oktober 2017, jelas menunjukkan EU sengaja merancang untuk menyekat import biofuel sawit.
“Sebarang percubaan untuk mendiskriminasikan, atau mengecualikan, biofuel minyak sawit akan memberi kesan negatif terhadap perdagangan dan kerjasama Eropah di Malaysia, dan rantau Asia Tenggara yang lebih luas,” katanya dalam satu kenyataan selepas ITRE Parlimen EU mengundi untuk menyokong sekatan biofuel minyak sawit di Eropah di bawah RED EU.
Di samping itu, pengesahan Jawatankuasa ITRE itu akan membolehkan minyak pesaing untuk terus beroperasi di bawah RED, manakala minyak kelapa sawit akan dikecualikan, katanya. – Bernama