Monday, May 12, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sekatan eksport ayam hanya langkah sementara

    KUALA LUMPUR, 4 OGOS – Sekatan pengeksportan ayam pedaging hidup yang masih berkuat kuasa adalah bersifat sementara, iaitu sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil sepenuhnya, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

    Beliau berkata kerajaan juga sedar peningkatan kos pengeluaran ayam berikutan kenaikan kos makanan ternakan dan pemberhentian eksport memberi kesan kepada pulangan penternak.

    “Dalam hal ini buat pertama kalinya, kerajaan bersetuju memberi subsidi kepada penternak ayam pedaging dan ayam penelur berjumlah RM1.1 bilion secara keseluruhannya bagi meringankan beban penternak ayam. Pemberian subsidi ini bermula 5 Feb 2022 dan akan berakhir pada 31 Ogos 2022.

    “Setakat 29 Julai 2022, sebanyak 8,907 permohonan subsidi diluluskan berjumlah RM748 juta,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.

    Menurutnya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar sentiasa memantau dan mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan dalam rantaian pengeluaran bekalan ayam termasuk di peringkat ladang bagi memastikan bekalan dan kelangsungan pengeluaran ayam negara berada pada tahap optimum dan stabil.

    Ronald berkata demikian menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang ingin tahu kerugian dihadapi sektor penternakan ayam seluruh Malaysia sejak larangan eksport ayam berkuat kuasa pada 1 Jun 2022. – Bernama

    Datuk Seri Ronald Kiandee menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 2 Ogos. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda