DEIR AL-BALAH, 18 APRIL – Kumpulan bantuan kemanusiaan mengeluarkan amaran baharu berhubung sekatan Israel ke atas Semenanjung Gaza yang dilanda perang, di mana semua bekalan makanan dan barangan lain telah dihalang masuk selama lebih enam minggu.
Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), ribuan kanak-kanak kini mengalami kekurangan zat makanan, dan kebanyakan penduduk hanya makan sekali sehari kerana stok makanan semakin berkurangan.
Amaran itu dikeluarkan ketika serangan udara Israel semalaman hingga Khamis membunuh sekurang-kurangnya 27 orang, termasuk sekurang-kurangnya enam wanita dan 15 kanak-kanak.
Sistem bantuan kemanusiaan di Gaza ‘menghadapi kegagalan sepenuhnya,’ kata ketua 12 pertubuhan bantuan bebas dalam satu kenyataan bersama.
Mereka menyatakan banyak operasi bantuan telah ditutup kerana pengeboman oleh Israel sejak sebulan lalu menjadikan keadaan terlalu berbahaya.
Tiada makanan, bahan api, ubat-ubatan atau sebarang bekalan lain dibenarkan masuk ke Gaza sejak Israel melaksanakan sekatannya pada 2 Mac. Israel menyambung semula serangan pada 18 Mac dan ratusan orang telah terbunuh dan lebih 400,000 penduduk Palestin terpaksa melarikan diri.
Pejabat Kemanusiaan PBB (OCHA) menyatakan hampir semua daripada lebih 2 juta penduduk Gaza kini bergantung kepada dapur kebajikan, yang hanya mampu menyediakan satu juta hidangan sehari. Hidangan itu kebanyakannya terdiri daripada nasi atau pasta tanpa sayur-sayuran segar atau daging.
Menurut pihak OCHA, lebih 3,600 kanak-kanak dimasukkan ke hospital untuk rawatan kekurangan zat makanan akut pada bulan Mac, meningkat daripada kira-kira 2,000 pada bulan sebelumnya.
“Kemerosotan mendadak dalam situasi pemakanan sudah wujud,” kata OCHA.
Tambah pihak OCHA, pada bulan Mac, hanya seramai 22,300 kanak-kanak bawah 5 tahun yang dapat dibekalkan dengan suplemen nutrisi, menurun sebanyak 70 peratus berbanding bulan sebelumnya. Hanya sekitar 100 daripada 173 pusat rawatan asal masih berfungsi.– AP
