Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – Sebanyak 34 kesalahan kompaun telah dicatatkan dalam operasi sekatan jalan raya yang dijalankan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) di kawasan lebuh raya hari ini.
Kesalahan-kesalahan yang dicatatkan termasuk cukai jalan mansuh, lesen memandu mansuh, tidak menampal cukai jalan, mengubah suai kenderaan berserta beberapa kesalahan lain.
Dalam pada itu, dua kesalahan doket turut dilaporkan yang melibatkan kenderaan tidak dilindungi insurans.
Sekatan jalan raya yang bermula jam 8:45 pagi tersebut telah melibatkan seramai 24 anggota Balai Polis Daerah Tutong yang diketuai oleh Inspektor Polis Percubaan (P/Insp) Awangku Muhammad Waie @ Awangku Fathurrahman bin Pengiran Abdullah.
Operasi dijalankan dengan konsep Stop & Search dan Stop & Talk bagi tujuan interaksi, mewujudkan kepercayaan, menjalinkan persahabatan yang tulus dalam kalangan masyarakat awam dan pihak polis.
PDB khususnya balai-balai polis daerah akan sentiasa berterusan mengadakan operasi seumpamanya bagi memastikan pelanggaran undang-undang negara sentiasa ditangani dan dibanteras dengan sebaiknya.
