Saturday, March 1, 2025
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sekatan pelancongan di Bukchon, Seoul akan dilaksanakan mulai Mac

    SEOUL, 28 FEB – Kerajaan Bandar Seoul hari ini mengumumkan bahawa mulai 1 Mac, dasar sekatan pelancong akan dilaksanakan di kawasan pengurusan khas Kampung Hanok Bukchon.

    Denda akan dikenakan kepada pesalah yang melanggar peraturan itu, lapor agensi berita Yonhap.

    Dasar itu bertujuan menangani isu pelancongan berlebihan. Pelancong hanya dibenarkan melawat kawasan khas Bukchon, yang dikenali sebagai ‘Zon Merah,’ yang terletak di belakang Perpustakaan Jeongdok, antara Istana Gyeongbok dan Istana Changdeok di daerah Jongno, pada 10 pagi hingga 5 petang.

    Mereka yang memasuki kawasan itu untuk tujuan pelancongan di luar waktu yang dibenarkan akan dikenakan denda sebanyak 100,000 won (AS$67), menurut Pejabat Daerah Jongno.

    Namun, penduduk berdaftar di Zon Merah, ahli keluarga, kenalan, pelanggan kedai, peniaga, tetamu penginapan, orang yang hanya melintasi zon tanpa sebarang aktiviti pelancongan serta kenderaan yang tidak digunakan untuk tujuan pelancongan tidak akan dikenakan denda.

    Sekatan itu kali pertama diperkenalkan secara percubaan pada November lalu bagi mengelakkan gangguan kepada penduduk setempat.

    Pejabat itu menjelaskan bahawa aktiviti pelancongan yang dilarang semasa tempoh sekatan termasuk mengambil gambar atau video, memerhati persekitaran serta merayau di jalanan untuk tujuan pelancongan. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda