Wednesday, March 19, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sekatan perjalanan dibatalkan di Hubei

    BEIJING, 24 MAC – China mengumumkan hari ini bahawa perintah berkurung akan dibatalkan ke atas lebih 50 juta penduduk di tengah wilayah Hubei di mana koronavirus pertama muncul pada akhir tahun lalu.

    Namun kebimbangan meningkat berhubung gelombang kedua jangkitan dalam negara yang didorong oleh orang yang tiba dari luar negara.

    Selepas dua bulan hidup dengan kawalan ketat ke atas kehidupan harian, penduduk kini dibenarkan meninggalkan Hubei mulai tengah malam hari ini jika sihat, kata pihak berkuasa wilayah.

    Bagaimanapun, bandar Wuhan – pusat wabak – akan menamatkan sekatan perjalanan bermula 8 April.

    Hubei mengarahkan penutupan pada Januari tetapi telah melonggar peraturan secara beransur-ansur dan membenarkan penduduk bergerak di dalam wilayah dan kembali bekerja.

    Anggota kakitangan menyembur disinfektan di Stesen Kereta Api Wuhan di Wuhan di tengah wilayah Hubei kelmarin. – AFP

    Penduduk yang ingin berkunjung masuk atau keluar dari Hubei atau Wuhan boleh berbuat demikian asalkan mereka mempunyai kod kesihatan ‘hijau’ yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, namun sekolah masih ditutup.

    “Saya berasa sungguh gembira,” beritahu penduduk Hubei Zoe Wang kepada AFP. “Saya boleh pulang dan berjumpa dengan ibu bapa saya.”

    “Saya benar-benar mahu kebebasan secepat mungkin,” kata seorang penghuni Wuhan bernama Willa.

    Kes baharu telah berkurangan mendadak sejak bulan lalu, walaupun jangkitan tempatan pertama dalam hampir satu minggu dilaporkan di Wuhan hari ini, di samping tiga kes di tempat lain di China.

    Jumlah tersebut jauh berbeza berbanding kes import, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya gelombang kedua jangkitan apabila wabak nampaknya sudah terkawal.

    Tujuh orang meninggal dunia, kesemuanya di Wuhan, kata Suruhanjaya Kesihatan Negara.

    Tatkala negara di seluruh dunia bergelut untuk membendung pandemik, jumlah kes import di China meningkat kepada 427.

    Kebanyakan mereka, 380 orang, adalah warga China yang pulang dari luar negara, kata kementerian luar hari ini.

    Namun terdapatnya tanda-tanda yang menunjukkan kehidupan sedang kembali pulih, dengan pihak berkuasa berkata semalam sebahagian Tembok Besar akan dibuka semula. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda