Sekatan sempadan diperketat di seluruh dunia

WASHINGTON, 25 JAN – Sekatan sempadan sedang diperketat di seluruh dunia hari ini ketika negara berdepan ancaman koronavirus, selepas berlakunya pertempuran sengit di Belanda pada hujung minggu berhubung peraturan mengenai penjarakan sosial.

Amerika Syarikat (AS) dijangka menyertai Perancis, Israel dan Sweden dalam mengenakan sekatan ke atas beberapa ketibaan, dengan kebimbangan mengenai strain baharu virus yang berasal di Britain dan Afrika Selatan.

“Terpulang kepada kami untuk menunjukkan bahawa kami berfikiran sivik,” kata warga Sepanyol Claudio Barraza kepada AFP semasa tiba di lapangan terbang antarabangsa Paris, selepas peraturan baharu mengenai ujian untuk ketibaan EU dikuatkuasakan.

Peraturan itu dikuatkuasa tatkala Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador menjadi pemimpin terbaharu diuji positif dijangkiti COVID-19, dan New Zealand melaporkan kes komuniti pertama sejak dua bulan lalu.

Di Washington, Presiden Joe Biden akan mengenakan semula larangan ke atas kebanyakan warga bukan AS yang telah berkunjung ke Britain, Brazil, Ireland dan sebahagian besar Eropah, serta menambah Afrika Selatan kepada senarai larangan, kata pegawai kanan Rumah Putih.

Semalam, Perancis mewajibkan ujian PCR negatif untuk ketibaan menerusi sempadan laut dan udara dari negara jiran Kesatuan Eropah.

Sweden pula berkata ia akan melarang kemasukan dari Norway selama tiga minggu, selepas kes jangkitan varian Britain dikesan di Oslo.

Dan di Israel, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata negara akan ‘menutup ruang udara’ kepada ketibaan dan pelepasan antarabangsa selama seminggu. – AFP

Perdana Menteri Boris Johnson membawa vaksin Oxford/AstraZeneca untuk diagihkan semasa lawatan ke Barnet FC di The Hive, utara London kelmarin. Sekatan sempadan sedang diperketat di seluruh dunia hari ini ketika berdepan ancaman koronavirus yang masih meningkat. – AP