SYDNEY, 10 OKT – Penduduk Sydney akan memulakan kembali kehidupan dalam norma baharu mulai esok setelah hampir empat bulan menjalani sekatan pergerakan koronavirus.
Bandar terbesar di Australia yang mempunyai lima juta penduduk itu telah diarahkan menjalani perintah berkurung selama 106 hari dengan tujuan mengehadkan penularan varian Delta yang mudah berjangkit.
Dengan jangkitan baharu kini berkurangan – negeri New South Wales mencatatkan sebanyak 477 kes kelmarin dengan lebih 70 peratus mereka yang berusia 16 ke atas sudah melengkapi dua dos vaksin, Sydney mula ‘hidup’ kembali.
Beberapa kemudahan termasuk kelab dan bilik mesin slot dijangka akan dibuka bermula 12:01 pagi waktu tempatan buat para pelanggan yang sudah bervaksin.
Tukang gunting rambut akan menjadi perniagaan yang terawal membuka pintunya esok, meskipun banyak yang mungkin sudah ditempah selama berminggu-minggu oleh para pelanggan.
Sejak Jun, kedai-kedai, sekolah, salon dan pejabat telah ditutup bagi para pekerja tidak penting dan adanya sekatan yang tidak pernah berlaku dahulu ke atas kebebasan peribadi.
Terdapat juga tegahan ke atas segalanya dari perjalanan lebih 5km dari rumah, melawat keluarga, bermain skuasy, berjalan-jalan di gedung beli-belah hinggalah menghadiri pengebumian.
“Hanya sedikit negara yang mengambil pendekatan ekstrem dalam mengendalikan COVID-19 seperti Australia,” beritahu Tim Soutphimmasane, seorang akademik dan bekas pesuruhjaya diskriminasi bangsa Australia kepada AFP.
Had masih akan dikenakan ke atas perhimpunan ramai dengan sempadan antarabangsa dan sekolah tidak akan dibuka sepenuhnya dalam masa beberapa minggu ini.
Namun kehidupan harian sepertinya akan kelihatan seperti normal.
Bagi kebanyakan pandemik, Australia berjaya mengawal jangkitan melalui penutupan sempadan, perintah berkurung, ujian dan pengesanan agresif.
Namun varian Delta telah melenyapkan impian ‘sifar COVID-19’, di bandar-bandar terbesar Melbourne dan Sydney yang sekarang beralih kepada ‘hidup bersama COVID-19’.
“Ini adalah hari besar bagi negeri kita,” kata ketua menteri New South Wales yang baru dilantik, Dominic Perrottet. Selepas ‘100 hari berdepan cabaran dan kesukaran, pengorbanan anda adalah berbaloi,” katanya. – AFP