LONDON, 27 MAC – Chelsea mengumumkan bahawa sekatan yang dikenakan kerajaan ke atas mantan pemilik kelab tersebut, Roman Abramovich, merupakan salah satu faktor penyumbang kepada kerugian kelab sebanyak £121.3 juta untuk musim 2021/22.
Abramovich, seorang jutawan Rusia, disekat oleh kerajaan UK pada Mac tahun lepas selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Dia digambarkan oleh para menteri sebagai ahli rapat dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Chelsea diletakkan di bawah lesen khas yang membataskan keupayaan mereka untuk menjual tiket, menerima tempahan acara bahkan menandatangani kontrak dengan pemain.
Sekatan tersebut kekal berkuatkuasa sehingga 30 Mei tahun lepas apabila sebuah konsortium baharu yang dipimpin oleh ahli perniagaan Amerika, Todd Boehly, mengambil alih kelab tersebut.

Chelsea menyatakan dalam kenyataannya hari ini bahawa hasil jualan meningkat kepada £481.3 juta berbanding £434.9 juta pada tahun sebelumnya walaupun dikenakan sekatan.
Manakala pendapatan komersial meningkat kepada £177.1 juta.
Walau bagaimanapun, hasil kewangan yang diumumkan tidak merangkumi pembelian Chelsea dalam dua jendela perpindahan terkini, di mana mereka dilaporkan telah menghabiskan kira-kira £600 juta untuk pemain baru.
Keputusan kewangan untuk musim 2021/22 menunjukkan bahawa kelab tersebut telah melaburkan £118 juta dalam skuad bola sepak, termasuk rundingan semula kontrak pemain sedia ada, tetapi mendapat keuntungan sebanyak £123 juta daripada jualan pemain termasuk Tammy Abraham, Marc Guehi, Fikayo Tomori dan Kurt Zouma. – AFP

