Friday, February 21, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sekendi gergasi: Spesies burung terancam di Kemboja

    PHNOM PENH, 18 FEB – Burung Sekendi atau Ibis gergasi, yang diiktiraf sebagai satu daripada spesies burung paling terancam di dunia kini banyak ditemui di Kemboja.
     
    Penyokong pemuliharaan menganggarkan bahawa kira-kira 95 peratus daripada populasi sekendi gergasi global tinggal di dalam hutan subur negara itu, menjadikan Kemboja sebagai habitat utama bagi spesies berkenaan.
     
    Usaha pemuliharaan dan kepelbagaian biodiversiti di Kemboja menjadikannya sebagai syurga tersembunyi bagi pelbagai spesies hidupan liar dan burung yang terancam, sekali gus memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan hidup spesies unik itu.
     
    Sekendi gergasi atau nama saintifiknya Thaumatibis gigantea yang pernah terbang bebas di Laos, Thailand dan Vietnam, kini hanya boleh ditemui di beberapa bahagian di timur laut Kemboja selepas populasinya di negara-negara jiran pupus akibat kemusnahan habitat dan ancaman lain.
     
    Selain itu, Kemboja turut menjadi habitat kepada kira-kira 780 ekor sekendi bahu putih (Pseudibis davisoni).
     
    “Terdapat 194 ekor sekendi gergasi dewasa, hampir 95 peratus daripada populasinya di dunia berada di Kemboja, dengan sebilangan kecil dikesan di sempadan Kemboja-Laos. Secara keseluruhan, hanya terdapat 290 ekor sekendi gergasi di dunia.
     
    “Ia adalah spesies endemik Kemboja dan juga burung kebangsaan negara ini. Oleh itu, kami berusaha sedaya upaya untuk melindunginya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif NatureLife Cambodia, Bou Vorsak kepada Bernama. – Bernama
     
    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda