Tuesday, July 15, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sekeping meteorit Marikh dijangka dilelong di New York

    NEW YORK, 14 JULAI – Sotheby’s di New York akan melelong meteorit Marikh lusa sebagai sebahagian daripada jualan bertemakan sejarah semula jadi yang turut merangkumi rangka dinosaur Ceratosaurus juvana yang tingginya lebih daripada 2 meter dan hampir 3 meter panjang.

    Menurut rumah lelong itu, meteorit itu dipercayai telah pecah dari permukaan Marikh akibat rempuhan asteroid sebelum bergerak sejauh (225 juta kilometer ke bumi, di mana ia terhempas ke Sahara. Seorang pemburu meteorit menemuinya di Niger pada November 2023, kata Sotheby’s.

    Bongkah merah, coklat dan kelabu adalah kira-kira 70 peratus lebih besar daripada kepingan Marikh terbesar seterusnya yang ditemui di bumi dan mewakili hampir 7 peratus daripada semua bahan Marikh yang ada di bumi ini, kata Sotheby. Ia berukuran hampir 375 milimeter (mm) kali 279mm kali 152mm.

    “Meteorit Marikh ini adalah kepingan terbesar yang pernah kami temui,” kata Naib Pengerusi Sains dan Sejarah Semula Jadi di Sotheby’s, Cassandra Hatton, dalam satu temu bual. “Jadi ia lebih daripada dua kali ganda saiz apa yang kami fikirkan sebelum ini adalah kepingan terbesar Marikh,” tambahnya.

    Ia juga jarang ditemui. Terdapat hanya 400 meteorit Marikh daripada lebih 77,000 meteorit yang diiktiraf secara rasmi ditemui di bumi, kata Sotheby’s.

    Hatton berkata sekeping meteorit itu telah dihantar ke makmal khusus yang mengesahkan ia berasal dari Marikh. Ia dibandingkan dengan komposisi kimia meteorit Marikh yang ditemui semasa siasatan angkasa Viking yang mendarat di Marikh pada 1976, katanya.

    Penyelidikan mendapati ia adalah olivine-microgabroic shergottite, sejenis batu Marikh yang terbentuk daripada penyejukan perlahan magma Marikh. Ia mempunyai tekstur berbutir kursus dan mengandungi mineral piroksen dan olivin, kata Sotheby’s.

    Ia juga mempunyai permukaan berkaca, mungkin disebabkan oleh haba tinggi yang membakarnya apabila ia jatuh melalui atmosfera bumi, kata Hatton. “Jadi itu adalah petunjuk pertama mereka bahawa ia ukan hanya batu besar di atas tanah,” ujarnya.

    Meteorit itu sebelum ini dipamerkan di Agensi Angkasa Itali di Rom. Bagaimanapun, Sotheby’s tidak mendedahkan pemiliknya. – AP

    Meteorit Marikh dikatakan merupakan kepingan terbesar Marikh di bumi dipamerkan di Sotheby’s, di New York pada 9 Julai. – AP

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda