Wednesday, November 13, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sekitar 40,000 tan metrik hasil padi terjejas akibat kemarau

    KOTA BHARU, 29 MAC – Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menganggarkan 5,000 hektar kawasan sawah melibatkan 40,000 tan metrik hasil padi terjejas, berikutan kemarau yang sedang melanda ketika ini.

    Pengerusinya, Muhammad Hussin, berkata kawasan tersebut sangat kering, mengakibatkan tanah merekah dan tanaman rosak teruk.

    “Kebanyakan kawasan terjejas itu bergantung kepada Stesen Pam Kemubu melibatkan Kota Bharu Utara dan Selatan, yang tidak dapat diselamatkan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat sunat istisqa bagi memohon hujan bersama 300 pesawah, di Stesen Pam Kemubu di Ketereh di sini, hari ini.

    Muhammad berkata, Stesen Pam Kemubu tidak dapat beroperasi, kerana paras air kini mencatatkan 2.48 meter berbanding 3.5 meter paras minimum stesen pam itu beroperasi dan kerugian sebenar masih tidak dapat dianggarkan ketika ini.

    Dalam pada itu Muhammad berkata, KADA berusaha membantu pesawah dengan membina telaga tiub melibatkan kos RM500,000, yang disalurkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

    Namun beliau berkata, proses membina telaga tiub itu berdepan kesukaran, kerana ada sesetengah kawasan tidak mempunyai punca air, kekurangan pekerja dan terpaksa meminta bantuan operator dari Terengganu.

    Muhammad berkata, masalah kekurangan air di kawasan sawah dijangka dapat diatasi apabila Stesen Pam Kemubu 3 siap sepenuhnya pada Jun 2025. – Bernama

    Gambar bertarikh 28 Mac menunjukkan keadaan tali air sawah padi sekitar Ketereh kering susulan kekurangan bekalan air yang disalurkan ekoran musim kemarau yang melanda ketika ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda