Gambar oleh Muiz Matdani dan Infofoto
TEMBURONG, 20 Julai – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Temburong di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Temburong.
Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat di Daerah Temburong adalah yang kedua diadakan setelah Daerah Tutong, sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-71 tahun bagi majlis junjung ziarah bersama-sama rakyat.
Keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat diraja yang lain dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof; timbalan-timbalan setiausaha tetap di KHEDN, Haji Idris bin Haji Mohd Ali dan Haji Muhammad Sunadi bin Haji Buntar serta Pegawai Daerah Temburong, Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud.



