LABUAN, 11 OGOS – Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS) berjaya merangkul gelaran berprestij ‘Pencapaian Pelajar Terbaik’ pada Anugerah Cemerlang Pendidikan Swasta 2023 yang amat dinanti-nantikan.
Acara gala itu berlangsung di Kuala Lumpur pada Khamis, yang menghimpunkan golongan elit dan terbaik daripada sektor pendidikan swasta untuk meraikan sumbangan cemerlang kepada bidang pendidikan.
Anugerah Cemerlang Pendidikan Swasta, merupakan acara tahunan yang mengiktiraf kecemerlangan dan inovasi dalam sektor pendidikan swasta, menghimpunkan para pendidik, pentadbir sekolah dan pihak berkepentingan untuk memberi penghormatan kepada institusi dan individu yang telah menunjukkan dedikasi dan komitmen yang luar biasa dalam membentuk minda muda.
Pengetua LIS, Fadlin Aimuni Binting berkata pencapaian cemerlang sekolah itu sehingga berjaya merangkul juara kategori Pencapaian Pelajar Terbaik adalah bukti komitmennya yang tidak berbelah bahagi untuk memupuk pembangunan holistik, kecemerlangan akademik dan pembinaan sahsiah dalam kalangan pelajarnya.
“Kaedah pengajaran inovatif sekolah, pendidik yang berdedikasi, dan kurikulum yang komprehensif secara kolektif telah menyumbang kepada kejayaan luar biasa pelajarnya…kami amat berbesar hati menerima pengiktirafan ini untuk ‘Pencapaian Pelajar Terbaik,” katanya kepada Bernama hari ini. – Bernama


