Oleh Yusrin Junaidi –
BELAIT, 20 NOV – Sempena ulang tahun ke-20 penubuhan Sekolah Arab Belait, sekolah berkenaan kelmarin menganjurkan Hari Terbuka sebagai usaha membarigakan maklumat mengenai persekolahan Arab kepada masyarakat khususnya penduduk di Daerah Belait.
Program tersebut menghimpunkan maklumat berkaitan pendidikan, kemasukan pelajar, pencapaian sekolah serta peranan sekolah Arab dalam sistem pendidikan negara, di samping memberi peluang kepada ibu bapa dan penjaga meninjau kemudahan pembelajaran melalui lawatan dan penerangan secara langsung.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan acara tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Jabatan Daerah Belait, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Muhammad Faiq bin Haji Rani.
Pelbagai acara menarik telah disusun bagi memeriahkan program, termasuk pameran pendidikan, aktiviti interaktif, kemahiran digital serta reruai keusahawanan.
Acara berkenaan dimulakan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah, Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan Doa Selamat oleh tenaga pengajar Sekolah Arab Belait, Awang Ahmad Za’aim bin Haji Bagol.
Majlis turut menyaksikan ucapan alu-aluan oleh Pengetua Sekolah Arab Belait, Pengiran Hajah Masniah @ Nur Amalina binti Pengiran Hussin.
Semoga penganjuran Hari Terbuka ini terus mengukuhkan peranan Sekolah Arab Belait sebagai institusi pendidikan agama yang unggul dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak mulia, berimam serta mampu menyumbang kepada kemajuan agama, bangsa dan negara.




