Ahad, 23 November 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sekolah Arab Belait rai 27 pelajar khatam

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BELAIT, 15 SEPT – Seramai 27 orang pelajar Sanah 6 Sekolah Arab Belait, terdiri daripada 16 pelajar lelaki dan 11 pelajar perempuan, diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung pagi tadi di surau sekolah berkenaan.

    Majlis berkenaan diadakan bagi meraikan kejayaan para pelajar yang telah menyempurnakan bacaan 30 juzuk Al-Quran, dan sebagai usaha membentuk generasi muda yang berilmu, berakhlak mulia, berjaya serta berpegang teguh kepada ajaran Islam melalui penghayatan Al-Quran.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Hakim Mahkamah Rendah Syariah Daerah Belait, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri, Haji Mohamad Shah bin Haji Taib.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dipimpin oleh tetamu kehormat, diikuti dengan bacaan surah-surah lazim oleh peserta khatam, bacaan Takhtim dan seterusnya Doa Khatam yang dibacakan oleh Awangku Muhammad Shahrul Hariz Ar-Rayyan bin Pengiran Shahfree.

    Acara turut diserikan dengan persembahan dikir sebelum penyampaian sijil kepada para peserta khatam. Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Awang Zuhairin bin Abdul Rahman.

    Majlis berkenaan diadakan adalah untuk menggalakkan penglibatan ibu bapa dalam memperkukuh pendidikan Islam, di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara warga sekolah dengan para ibu bapa pelajar.

    Selain itu, penganjuran majlis itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi celik Al-Quran serta mengamalkan pembacaan ayat-ayat suci dalam kehidupan seharian, di samping mencerminkan usaha berterusan Jabatan Pengajian Islam dalam memperkukuh syiar Islam di negara ini.

    Gambar ramai semasa Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Surau Sekolah Arab Belait. – GAMBAR SERAHAN KHEU
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda