Oleh Sim Y. H.-
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Seperti peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya, murid-murid Sekolah Chung Hwa Kiudang didedahkan kepada dunia keusahawanan dan perniagaan daripada usia muda melalui Hari Pasar yang berlangsung di dewan mini sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Sebanyak 25 gerai yang dikendalikan sepenuhnya oleh murid-murid sekolah yang menjual makanan dan minuman, alat tulis serta aksesori telah diketengahkan pada acara berkenaan.
Hadir untuk merasmikan aktiviti berkenaan ialah Guru Besar Sekolah Chung Hwa Kiudang, Loo Shee Yun di mana beliau turut melawat gerai-gerai bagi melihat dengan lebih dekat lagi mengenai barang-barang yang dijual.
Projek itu dilaksanakan oleh dua orang guru, Dayang Azlinah dan Justin sebagai sebahagian daripada tugasan kursus bagi membawa dunia sebenar ke dalam bilik darjah.
Hari Pasar itu bermatlamat untuk mendedahkan para murid kepada keadaan dunia sebenar dan membantu mereka untuk menjadi individu berkemahiran siaga masa hadapan serta untuk memperkenalkan kepada murid-murid bagaimana untuk mengaplikasikan mata pelajaran yang dipelajari seperti topik matematik iaitu mata wang, dalam keadaan dunia
sebenar.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P8-2Pasar-3_05082023.jpg)