GQEBERHA, AFRIKA SELATAN – Bilik darjah yang cerah dan bersih, rak-rak juga dipenuhi dengan buku teks dan alat tulis. Murid-murid memakai seragam biru dan kelabu yang kemas, lengkap dengan jaket merah cerah.
Persediaan seperti itu boleh disalah tafsir atau disalah anggap sebagai sekolah persendirian yang mahal di Afrika Selatan, namun semua murid berasal dari latar belakang miskin.
Sekolah itu, yang dibiayai oleh dermawan, memberikan harapan kepada kanak-kanak yang biasanya terpinggir dalam sebuah negara yang masih dihantui oleh ketidaksamaan berdekad-dekad selepas berakhirnya aparteid.
“Kebanyakan daripada mereka, malangnya, tidak mempunyai latar belakang yang baik, kebanyakannya ibu bapa mereka tidak bekerja,” kata Lebogang Gobodo, 25, bekas pelajar yang kini bekerja dalam projek Ubuntu Pathways.
“Jadi, dengan kami apa yang berbeza ialah kami kemudian cenderung memberi mereka bungkusan makanan pada akhir bulan. Mereka juga pergi ke klinik di sini. Jadi kami cuba menampung segala-galanya,” katanya.


Struktur konkrit moden berdiri bersebelahan dengan deretan rumah batu sederhana dan struktur besi bengkok di kawasan miskin dengan ribuan penduduk di bandar pantai Gqeberha.
Ramai penduduk di kawasan itu tidak menamatkan sekolah dan kebanyakan isi rumah mengharapkan bantuan kerajaan yang sedikit.
Jika projek Ubuntu Pathways tidak wujud, “budak-budak ini mungkin tidak bersekolah sama sekali,” kata seorang guru berusia 32 tahun, Taneal Padayachie.
Pulang ke tempat asal
Beberapa dekad selepas berakhirnya pemerintahan kulit putih, kesan sistem aparteid dua peringkat yang memberikan pendidikan yang rendah kepada orang Afrika kulit hitam masih dirasakan.
Lapan daripada 10 kanak-kanak bersekolah berusia sembilan atau 10 tahun menghadapi kesulitan dalam memahami apa yang dibaca, menurut satu kajian yang diterbitkan bulan lalu.
Jacob Lief, salah seorang pengasas Ubuntu Pathways, berkata idea itu adalah melabur ‘untuk kanak-kanak yang kurang bernasib baik sama seperti kami melabur untuk kanak-kanak yang istimewa.’
Sekolah itu tidak mengutip yuran dan bajet tahunan sebanyak AS$7 juta disediakan oleh dermawan dan syarikat-syarikat tempatan.
Namun, hanya kanak-kanak yang tinggal dalam radius tujuh kilometer sahaja yang diterima.
“Rasanya seperti pulang ke tempat asal apabila saya mendapat pekerjaan, kerana sekarang ini adalah peluang bagi saya untuk memberikan kanak-kanak masa yang layak untuk mereka,” kata Gobodo, bekas pelajar yang kini menjadi guru.
Rawatan HIV
Di antara 2,000 kanak-kanak yang telah melalui pusat itu sepanjang 25 tahun penubuhannya, kebanyakan daripadanya dilahirkan oleh ibu yang disahkan positif HIV.
Pusat itu mempunyai sebuah klinik khusus dalam merawat wanita hamil dengan HIV dan AIDS, di mana 600 daripadanya sedang menerima rawatan percuma.
Semua anak damit yang dilahirkan di sana dalam tempoh ini tidak menghidap HIV.
Kebanyakan kanak-kanak kemudian melanjutkan pelajaran di sekolah pusat itu.
“Salah satu kunci untuk menjaga kesihatan kanak-kanak muda dan memastikan mereka melalui persekolahan dan akhirnya mendapat ijazah adalah dengan menjaga kesihatan dan kehidupan ibu,” kata Lief.
“Kami mula dengan ibu yang positif HIV, memberi tumpuan kepada ibu dan anak. Daripada situ, mereka masuk ke sekolah rendah kami dan akhirnya ke sekolah menengah kami,” katanya.
Dengan rambut panjang, memakai gelang dan anting-anting biru firus, lelaki berusia 46 tahun dari New York itu telah tiba di Afrika Selatan pada usia 17 tahun.
Pada masa itu, Nelson Mandela telah dibebaskan dari penjara dan dunia dengan penuh semangat menyaksikan peralihan demokratik selepas berakhirnya aparteid. – AFP

