PARIS, 21 MAC – Sekurang-kurangnya 30 buah sekolah di wilayah Paris telah menerima mesej ancaman yang disertai dengan rakaman video pemenggalan kepala yang ‘mengejutkan’ pada minggu ini, menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, hari ini.
Institusi pendidikan tersebut yang kebanyakannya sekolah menengah, telah menerima ‘ancaman serius’ yang mengandungi ‘justifikasi dan hasutan keganasan’, wakil Kementerian Pendidikan memberitahu AFP.
Mesej-mesej tersebut disampaikan melalui platform digital, ENT yang berfungsi sebagai penghubung antara guru, pelajar dan ibu bapa; emel dalaman; atau perisian Pronote yang digunakan oleh Kementerian Pendidikan.
Penyiasat sedang berusaha untuk ‘mengenal pasti pelaku-pelaku’ tersebut, kata kementerian, sambil menambah sokongan psikologi telah ditawarkan kepada kanak-kanak atau dewasa yang telah menonton ‘video-video yang mengejutkan’ tersebut.
Menurut sumber polis, sekurang-kurangnya lima buah sekolah menengah di kawasan Yvelines, di barat wilayah Greater Paris, telah menerima ancaman bom antara kelmarin dan hari ini. – AFP


