JUBA, 17 MAC – Pemerintah Sudan Selatan kelmarin telah mengumumkan penutupan sekolah dan mengarahkan kanak-kanak agar tidak bermain di luar rumah kerana suhu dijangka meningkat luar biasa sehingga 45 darjah Celsius (C).
Gelombang haba semakin kerap berlaku di negara Afrika Timur, yang amat terdedah kepada perubahan iklim, tetapi suhu jarang melebihi 40 darjah Celsius.
“Suhu tinggi antara 41C hingga 45C dijangka minggu ini,” kata Kementerian Pendidikan, Kesihatan dan Alam Sekitar dalam satu kenyataan, sambil menambah gelombang haba itu dijangka berlarutan ‘sekurang-kurangnya dua minggu’.
“Sudah ada kes kematian yang berkaitan dengan cuaca panas melampau dilaporkan,” tambah mereka, tanpa memberikan butiran lanjut.
Kerajaan akan menutup semua sekolah mulai 18 Mac disebabkan ‘risiko kesihatan serius’ yang ditimbulkan kepada para pelajar. – AFP


