NEW DELHI, 3 NOV – Sekolah ditutup di seluruh ibu negara India hari ini kerana asap kelabu yang beracun menyelubungi bandar terbesar itu dan menjadikan kehidupan sukar bagi penduduknya yang berjumlah 30 juta orang.
Punca-punca utama pencemaran udara di Delhi pada musim sejuk, termasuk pembakaran tanaman oleh petani, ekzos kenderaan dan pelepasan daripada kilang-kilang.
Masalah pencemaran udara di India adalah krisis kesihatan awam yang telah berterusan selama bertahun-tahun dan penyelidik telah mengaitkannya dengan ratusan ribu kematian awal.
Tahap pencemaran udara di Delhi, khususnya tahap zarah PM2.5 yang sangat tinggi iaitu hampir 35 kali ganda hari ini, yang jauh melampaui had maksimum yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, menurut pemantauan firma IQAir.
“Berikutan peningkatan tahap pencemaran, semua sekolah rendah kerajaan dan swasta di Delhi akan ditutup selama dua hari,” kata Ketua Menteri, Arvind Kejriwal dalam X.
Delhi adalah salah satu kawasan bandar terbesar di dunia dan juga sering disenaraikan sebagai salah satu bandar yang paling tercemar.
Asbut yang boleh dilihat adalah masalah yang dihadapi oleh penduduk sepanjang tahun, tetapi mencapai tahap terburuk pada awal musim kira-kira semasa perayaan Hindu Diwali.
Perayaan Diwali bertepatan dengan musim di mana puluhan ribu petani di utara India membakar ladang untuk membersihkan jerami tumbuhan padi yang baru saja dituai.
Amalan pembakaran ladang oleh petani adalah salah satu faktor penting yang menyebabkan masalah asbut tahunan di Delhi dan ia memburukkan kesan pelepasan pencemaran daripada kenderaan dan industri. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/11/P1-5A_04112023.jpg)