ALDAIA, 30 SEPT – Wilayah Valencia di Sepanyol kelmarin telah bersiap sedia menghadapi satu lagi malam hujan lebat yang telah menyebabkan sekolah ditutup dan mencetuskan kebimbangan berulangnya banjir besar tahun lalu yang paling dahsyat dalam beberapa dekad.
Agensi cuaca kebangsaan AEMET mengekalkan amaran merah di kawasan pesisir wilayah Valencia sepanjang hari Isnin kerana risiko hujan lebat.
Agensi itu berkata sebanyak 180 milimeter hujan boleh turun di kawasan timur dalam tempoh 12 jam.
“Kita sedang mengalami episod hujan bersejarah,” kata Datuk Bandar Cullera, Jordi Mayor, dalam satu kenyataan di media sosial, sambil merayu penduduk supaya kekal di rumah.
Satu acara di Universiti Valencia yang sepatutnya dihadiri Raja Felipe VI pada Selasa telah dibatalkan kerana ramalan cuaca buruk, umum istana diraja.
Lebih setengah juta pelajar di seluruh wilayah Valencia tidak dapat menghadiri sekolah kelmarin selepas 243 majlis perbandaran di rantau itu menutup sekolah masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga, menurut pihak berkuasa pendidikan wilayah.
Bandar Valencia turut menutup semua ruang awam, termasuk perpustakaan, taman, pasar dan tanah perkuburan.
Terdahulu, hujan lebat pada waktu malam telah menyebabkan banjir setempat dan menyebabkan sebuah lurah melimpah di Aldaia, salah sebuah bandar yang paling teruk terjejas dalam bencana Oktober 2024 yang meragut lebih 230 nyawa.
Banjir tahun lalu mencetuskan kemarahan awam mengenai sistem amaran dan tindak balas kecemasan. Penduduk terus membantah, menuduh pihak berkuasa gagal memberikan amaran tepat pada masanya.
Disebabkan atmosfera yang lebih panas mampu menyimpan lebih banyak wap air, perubahan iklim meningkatkan risiko serta keamatan hujan lebat dan banjir. – AFP


