Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MAC – Para guru dan kakitangan Sekolah Fairview baru-baru ini telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bersempena dengan hari terakhir persekolahan bagi penggal pertama bertempat di bilik ibadat sekolah tersebut.
Terdahulu, para guru dan kakitangan Sekolah Fairveiw sama-sama mengadakan Majlis Bertadarus membaca Al-Quran beramai-ramai selama dua minggu sepanjang bulan Ramadan dan telah berjaya menghabiskan bacaan juz masing-masing.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pengarah Urusan Sekolah Fairview, Dato Seri Laila Jasa Haji Ahmad bin Dato Paduka Matnor dan Ketua Pentadbiran Sekolah Fairview, Datin Paduka Hajah Fatimah binti Dato Paduka Haji Mohd Husain.
Turut hadir, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Fairview, Awang Fahrul Razzi bin Pandin; Bendahari PIBG, Haji Norbahrin bin Haji Muamad dan Awang Azmin bin Dato Seri Laila Jasa Haji Ahmad.
Acara dimulakan dengan bacaan Selawat Sayyidul Istighfar dan diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim beramai-ramai, diikuti bacaan Takhtim dan Dikir Marhaban.
Majlis diadakan bertujuan untuk meningkatkan kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan guru-guru, selain memupuk budaya membaca, memahami dan menghayati Al-Quran serta mempererat hubungan silaturahim di antara guru-guru melalui aktiviti keagamaan.
Seterusnya acara diselajurkan dengan penyampaian hadiah bagi Peraduan Menghafaz Surah Lazim yang disampaikan oleh Dato Seri Laila Jasa Haji Ahmad.
Johan bagi setiap kategori, Mohammad Shafyzul Haydar bin Zul Haminuddin, Muhammad Zavier Naoufal bin Mohd Amalul Ariffin dan Muhammad Izz Thaqif bin Muhammad Ashraf telah memperdengarkan bacaan mereka pada majlis tersebut.
Semua di atas: Johan pelajar lelaki bagi setiap kategori yang diraikan.
Manakala bagi pelajar perempuan pula dimenangi oleh Nurul Aisyah Bazilah binti Norlizam, Maryam Zahra binti Mohammad Azzarul dan Raima Nayyirah binti Mohammad Fithridza selaku johan bagi setiap kategori.
Semua di atas: Johan pelajar perempuan bagi setiap kategori yang diraikan.
Seterusnya majlis diteruskan lagi dengan penyampaian derma anak yatim bagi dua adik-beradik pelajar sekolah Fairview. Derma yang disampaikan adalah sumbangan daripada PIBG serta kakitangan Sekolah Fairview. Sumbangan berkenaan diserahkan oleh Dato Seri Laila Jasa Haji Ahmad dan Haji Norbahrin.

Sumbangan itu diharap dapat meringankan perbelanjaan anak-anak yatim berkenaan bagi sama-sama meraikan kemeriahan Hari Raya yang bakal menjelang.

– GAMBAR-GAMBAR SERAHAN SEKOLAH FAIRVIEW