Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Sekolah Fairview telah mengadakan Sambutan Hari Guru sempena Sambutan Hari Guru ke-35 bagi 2025 yang diadakan di sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Pengarah Urusan Sekolah Fairview, Dato Seri Laila Jasa Haji Ahmad bin Dato Paduka Matnor. Turut hadir, Pengarah Eksekutif Akademik Sekolah Fairview, Datin Paduka Hajah Fatimah binti Dato Paduka Haji Mohd Husain.
Acara lain tujuan majlis itu diadakan adalah untuk menghormati dan menghargai jasa semua guru yang telah menabur bakti dalam mendidik dan membimbing anak-anak bangsa khususnya murid-murid sekolah berkenaan, di samping mengeratkan lagi hubungan di antara guru-guru, murid-murid dan kakitangan sekolah.
Majlis sambutan dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Awang Ahmad Mu’adz bin Dziky Mulyaddey, murid Tahun 5.
Majlis itu dimeriahkan lagi dengan persembahan nyanyian dengan tema Hari Guru daripada murid Tadika, gabungan persembahan daripada murid Rendah Bawah, dendangan puisi dan pantun serta persembahan daripada murid-murid Rendah Atas.
Majlis turut diserikan dengan acara Fun Game dengan penyertaan guru-guru sekolah berkenaan yang diungkayahkan oleh kakitangan bahagian pentadbiran dan murid-murid.
Majlis kemuncak menyaksikan pertukaran cenderamata di antara guru-guru bagi sama-sama menghargai dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim.
Dengan adanya acara seumpama ini, ia diharapkan dapat memupuk kasih sayang dan hormat murid kepada guru-guru yang telah mengajar, mendidik dan membimbing mereka sehingga menjadi murid yang cemerlang dalam pendidikan.


Semua di atas: Antara suasana semasa sambutan berkenaan.



