PAARL, AFRIKA SELATAN – Bunyi burung berkicauan menenggelamkan deruan enjin kereta di depan sebuah sekolah di selatan Afrika, di mana pelajar menanam kubis, membuat kompos dan memanjat pokok.
‘Sekolah lestari’ pertama di Afrika Selatan berhasrat membangunkan rakyat mesra alam generasi baharu, memupuk kreativiti kanak-kanak serta kemapanan ketika menghadapi gangguan iklim.
Pengasas projek, Alba Brandt berkata beliau mengemukakan idea tersebut pada 2017 selepas menghabiskan enam bulan menyertai inisiatif yang sama di Bali, Indonesia, program yang sepatutnya aktiviti pengembaraan keluarga bersama suami dan tiga anak perempuannya.
“Ia mengubah kehidupan kami,” kata bekas akauntan berusia 44 tahun itu, berpakaian seluar pendek Bermuda dan baju hud, rambutnya diikat kemas dalam sanggul.
“Saya sedar pendidikan bukan hanya duduk diam dalam pakaian seragam, mencatat fakta dan nota yang ditulis di papan hitam,” beritahunya kepada AFP, merujuk kepada sekolah yang terletak kira-kira 60 kilometer dari Cape Town.
Tidak seperti kebanyakan sekolah lain di Afrika Selatan, pakaian seragam tidak diwajibkan di institut ini yang terletak di kawasan istimewa negara, kaya dengan kehidupan tumbuh-tumbuhan dan ladang anggur.
Sekolah yang dibuka pada tahun lalu itu dibina di bekas padang kecil untuk kuda, di mana ‘tanah tersebut tidak diurus dan terbiar,’ kata Brandt.
“Kami mula menanam dua tahun lalu, dengan tanaman endemik, tanpa bahan kimia. Dan biodiversiti, rama-rama dan lebah kembali semula, selain landak.”
Ular juga didapati bersembunyi dalam sesetengah belukar di mana kanak-kanak tahu mereka tidak harus bermain pada hari panas musim bunga.
Perkarangan sekolah mempunyai taman permainan dengan buaian, pondok dan bekas pasir, sementara dapur pembaziran sifar di kantin hanya menyajikan makanan vegetarian.
Apabila AFP mengadakan lawatan, menu mempromosi tiga salad berlainan yang dihiasi dengan daun basil segar diperoleh daripada kebun sekolah.
Bilik darjah mempunyai tingkap besar, membenarkan lebih banyak cahaya matahari masuk dalam bilik.
Panel solar membekalkan elektrik dan sistem paip air di bawah lantai menyediakan penyaman udara.
Sekolah itu memenuhi semua kumpulan umur berlainan daripada sekolah tadika kepada sekolah menengah, dengan 170 pelajar berdaftar setakat ini.
Kelas adalah kecil, dengan 20 pelajar dan dua guru setiap kelas.
Pengajaran dilaksanakan dalam dua bahasa, iaitu bahasa Inggeris dan Afrika, mencerminkan demografi serantau selain mengamalkan pendekatan tematik, dengan topik dipelajari dalam semua mata pelajaran.
“Ambil contoh kehidupan di Marikh,” kata pengetua Andrew Wood. “Kami akan membincang cereka sains dalam subjek kesusasteraan, matematik, astronomi, graviti dalam fizik,” jelas beliau.
“Perlu adanya kekonsistenan dalam apa yang dipelajari oleh mereka.”
‘Sekolah lestari’ bukan mengenai ‘memuat turun isi kandungan’ dalam otak pelajar, tetapi mahu mereka ‘berfikir secara kritis’ sejajar dengan kemahiran pembelajaran abad ke-21, beritahu pendidik berusia 62 tahun itu.
“Inilah caranya saya mengajar di sebalik pintu tertutup di sekolah lama saya, dan kini saya boleh berkongsi dengan ibu bapa pelajar,” kata guru sekolah rendah, Esbie Binedell sambil ketawa. “Ia agak kucar-kacir tetapi kami akan mencungkil maklumat mengenai sesuatu topik sehingga pelajar betul-betul memahami kesemua soalan.”
Yuran adalah agak mahal dan kerajaan tidak menyediakan sebarang pembiayaan. Sistem biasiswa sedang dirancang namun akan mengambil masa untuk diluluskan.
Brandt berkata dia berharap pengajaran di sekolah itu akan membantu mewujudkan komuniti yang lebih berdaya tahan.
Pengasas sekolah itu berkata adalah tidak memadai hanya untuk menjadi ‘ibu luar biasa yang mengitar semula barang di rumah dan menyediakan makanan masakan sendiri.’
“Awda boleh melakukannya sendirian tetapi ia sukar dan mungkin tidak akan berjaya.
“Komuniti adalah jauh lebih kuat.”
Meskipun menumpu pada alam sekitar, guru-guru memilih untuk menyentuh sekali imbas apabila membincang tentang kesan pemanasan global.
“Kami memperkenalkan masalah secara beransur-ansur, untuk mengelak kebimbangan mengejut mengenai alam sekitar. Kebanyakannya dengan pelajar yang lebih tua. Kami bermula dengan masalah saiz sebuah kampung, kemudian bandar, seterusnya seluruh negara, secara berperingkat-peringkat,” kata Brandt.
Sekolah lestari, dengan agenda yang progresif dan pendekatan inovatif, bertujuan melengkapkan pelajar dengan alat atau kaedah untuk berfikir secara kritis sementara mengembangkan kreativiti mereka. – AFP