Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sekolah masakan UK tawar resipi untuk penyepaduan

    LONDON – Di sekolah masakan Migrateful di tengah London, cef Najee dan Sanobar membantu rakan sekerja mereka dari Syria, Faten, mengajar resipi keluarga dari tanah air kepada sekumpulan profesional muda.

    Para peserta dibahagikan kepada dua orang, di mana setiap pasukan ditugaskan untuk mencipta satu daripada enam hidangan dalam menu, termasuk tabouleh, ayam shawarma dan sup terung dengan kentang goreng.

    Najee dan Sanobar sentiasa bersedia untuk memberikan bimbingan dan juga bantuan, ketika dapur terbuka menjadi riuh-rendah dengan bunyi orang memotong bahan sambil berceloteh, periuk dan kuali yang berdentang serta sayur-sayuran yang digoreng dalam minyak yang panas.

    Muzik tradisional Timur Tengah dimainkan sepanjang masa, dan pada akhir kelas tiga jam, pelajar dan guru duduk bersama untuk menikmati hasil kerja mereka.

    Bagi Najee, seorang artis yang melarikan diri daripada konflik di Afghanistan pada 2021, memasak dan berkongsi makanan dalam kalangan orang asing mewujudkan rasa persaudaraan yang mengeratkan hubungan.

    Cef Faten mengajar resipi keluarga dari tanah air kepada sekumpulan profesional muda. – AFP

    “Apabila awda memasak dan berkongsi makanan bersama, awda membina hubungan.

    Awda belajar sesuatu daripada orang lain apabila awda makan bersama. Awda juga belajar tentang budaya mereka, apa yang mereka lakukan dalam hidup. Awda belajar daripada mereka,” katanya kepada AFP.

    KREATIF

    Najee tiba di UK pada Jun 2022, selepas perjalanan hampir sembilan bulan yang berbahaya melalui Iran, Turkiye, Greece dan kemudian Perancis yang menyaksikan dia tidur di bawah jambatan dan di stesen kereta api.

    Dia pada mulanya tinggal di penginapan kerajaan UK di selatan London, dan menghadapi kesukaran kerana tidak dapat bekerja atau belajar, serta berkongsi tempat tinggal dengan orang yang tidak dikenali. “Beberapa bulan pertama saya sangat tertekan. Saya banyak berada di dalam bilik,” katanya.

    Namun, rutinnya berubah dan kemurungannya berkurang apabila dia menyertai Migrateful, sebuah badan amal yang kebanyakannya diuruskan oleh pelarian dan pendatang.

    “Saya sangat kagum. Semua orang begitu baik hati,” katanya, walaupun dia mengaku gementar pada awalnya.

    Dia tahu dia mempunyai bakat memasak sejak remaja apabila kawan-kawannya akan memintanya memasak untuk mereka. Tetapi kini dia dilatih ‘seperti seorang profesional’.

    Apabila dia memperoleh status pelarian pada September 2023 dan tidak lagi dihalang daripada bekerja, dia dapat memperoleh pendapatan dengan mengajar kelas dan menyediakan makanan untuk individu.

    Memasak memberikan Najee, yang memilih untuk tidak memberikan nama penuhnya, saluran untuk kreativitinya. “Makanan itu bukan sahaja harus rasa sedap, tetapi ia juga harus kelihatan menarik,” katanya.

    Sanobar Majidova meninggalkan negara asalnya, Uzbekistan untuk ke UK bagi menyediakan pendidikan yang lebih baik untuk anak-anaknya. Setahun selepas dia tiba pada 2019, kawalan pergerakan bermula.

    “Saya tidak tahu Bahasa Inggeris. Saya duduk di rumah bersama empat anak saya dan ia adalah masa yang sukar,” katanya.

    Bagi memastikan anak-anaknya gembira, setiap hari dia akan melayari Internet untuk mencari resipi baharu untuk dimasak.

    Selepas mendengar tentang Migrateful melalui seorang rakan, dia menyedari bahawa dia boleh menukar minat memasaknya menjadi kerjaya.

    Kini, tiada apa yang lebih digemarinya selain mengajar orang lain cara memasak pilaf, hidangan nasi tradisional yang telah ditetapkan sebagai ‘Raja Makanan’ oleh badan warisan dunia UNESCO pada 2016.

    SOKONGAN

    “Kami menyokong pendatang yang datang ke UK dan bergelut untuk berintegrasi, yang tidak yakin dengan bahasa Inggeris mereka atau dihalang daripada bekerja secara sah,” kata pengasas Migrateful, Jess Thompson.

    “Setakat ini, kami mempunyai kira-kira 38 kewarganegaraan yang berbeza, jadi terdapat banyak masakan yang menarik.”

    Warganegara utama yang bekerja dengan mereka ialah golongan yang terpaksa berhijrah dari negara-negara di Timur Tengah, Afrika, Asia Tenggara dan Amerika Latin.

    “Mereka berasa terasing apabila tiba di negara ini, jadi Migrateful menawarkan mereka tempat yang selamat.

    “Mereka mempunyai komuniti. Mereka membina keyakinan dan harga diri kerana mereka merasakan mereka mempunyai sesuatu untuk ditawarkan kepada negara ini. Mereka berasa dihargai dan diraikan.” Ramai cef mereka kemudiannya mendapat pekerjaan sepenuh masa di restoran atau menjalankan perniagaan katering mereka sendiri.

    Bagi Thompson, Migrateful memberikan peluang kepada komuniti tuan rumah untuk bertemu dengan pelarian dan mengubah sikap negatif terhadap migrasi.

    “Apabila awda bertemu mereka dan mempunyai interaksi yang bermakna serta berkongsi makanan bersama-sama, awda melihat mereka sebagai seorang manusia dan bukan lagi sebagai satu ancaman.

    “Penghijrahan akan sentiasa menjadi sebahagian daripada kehidupan kita, jadi kita perlu mencari jalan untuk meraikannya dan menjadikannya sesuatu yang positif untuk masyarakat kita. London tidak akan wujud tanpa sumbangan pendatang.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda