Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 APRIL – Sekolah Antarabangsa Islam Miftah An-Nur, dengan kerjasama Projek Feed, telah menganjurkan kempen sumbangan amal kepada 40 orang anak yatim dalam majlis penyampaiannya yang berlangsung di sekolah berkenaan di Sungai Akar, baru-baru ini.
Kempen berkenaan telah menghimpunkan golongan ibu bapa, para kakitangan dan sukarelawan dalam sama-sama menjayakan acara tersebut.
Sumbangan berkenaan merangkumi koleksi barangan makanan asasi dan bantuan kewangan yang disalurkan daripada komuniti sekolah, sekali gus menonjolkan komitmen untuk mewujudkan nilai-nilai positif dalam kehidupan mereka yang kurang bernasib baik.
Semasa majlis itu, Pengetua Eksekutif Sekolah Antarabangsa Islam Miftah An-Nur, Bilal Buttar, menyampaikan ucapan perasmian yang penuh inspirasi, menekankan kepentingan memberi kembali dan memanjangkan kebaikan lebih-lebih lagi pada bulan yang penuh keberkatan ini.
Menerusi kempen berkenaan yang diselajurkan dengan majlis berbuka puasa, setiap anak yatim mendapat manfaat daripada kemurahan hati penderma yang terdiri daripada ibu bapa dan kakitangan sekolah, yang membantu memenuhi keperluan asas mereka bagi menyambut Hari Raya.
Sekolah Antarabangsa Islam Miftah An-Nur tetap berdedikasi untuk memupuk budaya memberi, empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar dan pihak berkepentingan, sambil memastikan bahawa nilai belas kasihan dan kemurahan hati terus berkembang maju melangkaui usaha amal ini.