KAOHSIUNG, 1 OKT – Taiwan hari ini menutup sekolah dan pejabat serta memindahkan ratusan orang dari kawasan terdedah di sekitar pulau itu menjelang taufan kuat dijangka melanda pantai baratnya yang padat dengan penduduk selepas ia membadai pulau utara Filipina.
Puluhan penerbangan dibatalkan dan lebih 500 orang dipindahkan dari kawasan pergunungan yang mudah terdedah kepada tanah runtuh. Manakala hampir 40,000 tentera dikerah untuk membantu usaha menyelamat, menurut Kementerian Pertahanan.
Taufan Krathon dijangka melanda bandar pelabuhan utama Kaohsiung di barat daya pulau itu esok dan kemudian dijangka bergerak merentasi pusat Taiwan dan timur laut ke arah Laut China Timur, menurut Pentadbiran Cuaca Pusat.
Taufan tersebut juga dijangka menjejaskan ibu negara Taipei, di utara pulau itu esok dan lusa.
Datuk Bandar Kaohsiung, Chen Chi-mai menyarankan mereka untuk sentiasa berada di dalam rumah kecuali terdapat keperluan, di samping mengelak kawasan banjir dan tanah runtuh berhampiran sungai, tepi laut serta pergunungan. Hujan sehingga 80 sentimeter turut diramalkan di kawasan sekitar pergunungan.
Beliau menambah Krathon juga tidak kurang hebatnya daripada Taufan Thelma pada 1977, yang memusnahkan bandar itu, menyebabkan 37 maut dan 298 cedera.
Taufan tersebut bergerak perlahan ke arah pulau itu dengan angin maksimum berterusan pada kelajuan 198 kilometer sejam (kph) dan 245kph, menurut pentadbiran cuaca.
Di utara Filipina, taufan itu telah membunuh seorang penduduk kampung, menyebabkan kira-kira 5,000 orang kehilangan tempat tinggal, merosakkan lebih 2,400 rumah dan mengakibatkan banjir berleluasa, kata pegawai. – AP