Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Seramai 300 orang pelajar Sekolah Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) terlibat dalam Upacara Menaikkan Bendera sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77 tahun yang berlangsung Sekolah PGGMB Sungai Akar, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dr Haji Mahali bin Haji Momin.
Pada acara itu, bendera negara telah disampaikan oleh Setiausaha Agung PGGMB, Haji Mustapa bin Haji Masri kepada Yang Berhormat Dr Haji Mahali yang kemudian menyerahkannya kepada Guru Besar Sekolah PGGMB Sungai Akar, Haji Ali @Mustapa bin Haji Talip.
Bendera seterusnya diserahkan kepada dua orang murid Sekolah PGGMB untuk upacara menaikkan bendera dengan diiringi lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam, ‘Allah Peliharakan Sultan’.
Sementara itu, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam telah dibacakan oleh Guru Agama, Awang Shahnon bin Haji Basman dan diakhiri dengan tiga kali laungan ‘Daulat Kebawah Duli Tuan Patik‘, yang dipimpin oleh Awang Mohd Hasanol Basri bin Mohd Azri.
Turut hadir pada majlis itu ialah ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PGGMB, guru-guru besar serta para guru sekolah-sekolah PGGMB.