Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sekolah Rendah Tutong Kem juara Festival Olahraga

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    TUTONG, 16 SEPT – Sekolah Rendah Tutong Kem dinobatkan sebagai juara keseluruhan dalam Festival Olahraga Kanak-kanak Sekolah Rendah 2024 bagi Kluster 5 yang diadakan di Kompleks Sukan Tutong, baru-baru ini.

    Manakala Sekolah Rendah Pengiran Kesuma Negara Bukit Beruang muncul sebagai naib johan, dan tempat ketiga disandang oleh Sekolah Rendah Binturan.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian hadiah-hadiah kepada para pemenang ialah Ketua Kluster 5, Jabatan Sekolah-sekolah di Kementerian Pendidikan, Awang Abdul Wafi Sia bin Abdullah Sia.

    Festival tersebut melibatkan 196 murid dari 19 sekolah rendah, yang bertanding dalam dua kategori iaitu lelaki dan perempuan. Bagi kategori lelaki, Sekolah Rendah Tutong Kem berjaya merangkul kejuaraan, manakala Sekolah Rendah Pengiran Kesuma Negara Bukit Beruang mengungguli kategori perempuan.

    Objektif utama festival anjuran Bahagian Jasmani dan Rekreasi, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan itu adalah untuk memperkenalkan aktiviti sukan yang sesuai untuk perkembangan fizikal kanak-kanak serta merangsang minat mereka terhadap olahraga.

    Program itu turut bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat dan seimbang melalui sukan, di samping memperkenalkan asas-asas olahraga dalam bentuk permainan dan menggalakkan elemen keseronokan dalam aktiviti pergerakan.

    Festival berkenaan diadakan bagi semua enam kluster, bermula dengan Kluster 1 pada 12 Mei, diikuti Kluster 2 pada 26 Mei, Kluster 3 pada 9 Jun, Kluster 6 pada 31 Ogos, dan Kluster 4 pada 7 September. Antara acara yang dipertandingkan adalah Formula Bends, Backward Overhead Throw, Hurdles Relay, dan 3 Steps Bound.

    Antara aksi salah seorang peserta festival dalam salah satu acara yang dipertandingkan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    Gambar ramai peserta bersama tetamu kehormat di festival itu. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda