Sekolah satelit ISB dirasmikan

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 13 JAN – Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB), hari ini, melakarkan sejarahnya yang tersendiri apabila merasmikan tapak sekolah baharu bagi sekolah satelitnya di Seria, Daerah Belait.

Sekolah Satelit ISB yang sebelumnya terletak di dua lokasi berasingan di Kuala Belait kini digabungkan di satu tapak di kawasan F19, Pekan Seria.

Hadir menyaksikan acara penting bagi sekolah berkenaan ialah Pengarah Urusan Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP), Agnete Johnsgaard-Lewis dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG, Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib yang disertai oleh pegawai kanan dan kakitangan masing-masing dari BSP dan Brunei LNG.

Beroperasi sejak Ogos tahun lalu, para pelajar dan guru-guru sekolah berkenaan dapat menggunakan masa berkenaan untuk membiasakan diri dalam persekitaran pembelajaran dan pengajaran baharu yang akhirnya membawa kepada sambutan hari ini, dijalankan dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah ISB, Nicholas King dalam ucapan alu-aluannya berkata, dengan pembukaan kampus baharu berkenaan di tengah-tengah Seria, mereka bukan sahaja meraikan 15 tahun penubuhan malah mengukuhkan jangkaan bahawa ISB akan terus berkembang di Daerah Belait, membawa bersama pendidikan terbaik kepada lebih ramai pelajar di sini.

Agnete Johnsgaard-Lewis dan Hajah Farida semasa menghadiri majlis perasmian Sekolah Satelit ISB.
Agnete Johnsgaard-Lewis beramah mesra dengan murid-murid semasa mengadakan aktiviti di dalam kelas.

Beliau turut berkongsi mengenai bagaimana sekolah berkenaan bermula dengan mengimbas semula sejarah sekolah satelit tersebut dan bagaimana ia mengharungi cabaran-cabaran serta bagaimana acara berkenaan bukan sekadar keistimewaannya malah ia meraikan usaha ISB selama 15 tahun untuk menubuhkan sekolah kekal di Daerah Belait.

Selepas ucapan, Nicholas King kemudian menyampaikan cenderahati penghargaan kepada pengarah urusan BSP atas sokongan BSP kepada penubuhan tapak baharu berkenaan.

Acara kemudian diteruskan dengan beberapa persembahan yang dipimpin oleh pelajar-pelajar sekolah, dengan kebanyakan persembahan adalah berdasarkan budaya yang membentuk asas budaya sekolah berkenaan.

Bagi memperingati majlis itu, Agnete Johnsgaard-Lewis dan Nicholas King turut menanam anak pokok di depan setiap bangunan di tapak berkenaan sebelum lawatan ke bilik-bilik kelas dan kemudahan di sekolah baharu berkenaan.

Kampus Seria yang baharu diubahsuai berkenaan merangkumi sebuah bangunan tambahan besar bagi sekolah berkenaan, yang termasuk bilik kelas lebih besar dengan ruang membaca khas, kawasan-kawasan pembelajaran untuk melukis, pembinaan, muzik dan banyak lagi.

Bahagian luaran pula menyaksikan kawasan taman permainan besar dan padang bagi murid-murid sekolah rendah. Fakulti lain termasuk taman permainan tahun-tahun awal, trek bagi pelajar menggunakan basikal, kereta mainan dan skuter serta gelongsor menyeronokkan dari bilik kelas supaya kanak-kanak dapat mengakses kawasan pembelajaran luar dengan mudah.

Kampus berkenaan mampu menampung 168 orang murid daripada yang berusia dua tahun hingga murid Tahun 6, pihak sekolah turut menyampaikan penghargaannya atas sokongan yang telah diterima daripada masyarakat dalam membantu menyokong kemajuan sekolah dalam mengenai kemahiran dan keupayaan pelajar.