Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Bagi menanamkan semangat patriotik dalam kalangan murid-murid, Sekolah Sinar Matahari tidak ketinggalan memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33 dengan mengadakan majlis sambutan di sekolah berkenaan, semalam.
Seluruh pelajar, guru dan kakitangan sekolah datang ke sekolah dengan mengenakan pakaian kebangsaan negara, baju kurung dan cara Melayu yang berwarna-warni.
Majlis diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk persembahan nyanyian beramai-ramai oleh pelajar-pelajar diikuti dengan beberapa aktiviti yang lainnya.
Sambutan serupa turut diadakan di Sekolah Cahaya Bina Insan di mana murid-murid dari kelas tadika dan pelajar rendah dan atas tampil dengan memakai baju mengikut warna bendera Brunei.
Dengan bertemakan ‘Cintai Budaya Kitani’, murid dan pelajar didedahkan dengan budaya masyarakat Melayu di mana kesemua mereka dikehendaki memakai kain pelikat dan kain batik.
Selain itu, Pelajar juga didedahkan dengan permainan dan juga kuih-muih tradisional.
Sambutan itu diharap dapat memupuk semangat patriotik dalam kalangan pelajar sesuai dengan tema Hari Kebangsaan ke-33 iaitu ‘Menjayakan Wawasan Negara.’
Antara tujuan acara seumpama ini diadakan adalah untuk memberikan pendedahan dan meningkatkan semangat patriotik para pelajar sekolah dari peringkat kindergarten sehinggalah peringkat rendah.
Kemeriahan juga dirasakan di setiap sambutan seperti ini dengan laungan dan nyanyian serta aktiviti yang dipelbagaikan di setiap sekolah yang mengadakan sambutan sepertinya.