Oleh Hajah Saemah Kepli
SERIA, 1 Mac – Sekolah St Angela tidak ketinggalan menyemarakkan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33 dengan mengadakan majlis sambutan di sekolah berkenaan yang melibatkan penyertaan para pelajar dan guru-guru.
Acara sambutan yang bertemakan ‘Menjayakan Wawasan Negara’ itu telah dimulakan dengan bacaan ikrar yang diketuai oleh pelajar Tahun 10, Andrew Graham. Beberapa acara lain turut menyerikan sambutan berkenaan antaranya persembahan nyanyian lagu patriotik ‘Tekad Kemerdekaan’ oleh guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah itu, sambil mengibar-ibarkan bendera kecil kebangsaan.
Turut diadakan adalah Kuiz Hari Kebangsaan yang antara lain bertujuan untuk meningkatkan lagi pengetahuan dan semangat para pelajar sekolah.Sementara itu, Pengetua sekolah, Chea Wann Ching menyeru semua pelajar sekolah tersebut untuk terus meningkatkan kesungguhan dan ketekunan dalam pembelajaran mereka untuk merealisasikan Wawasan Brunei 2035.
