Wednesday, February 5, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sekolah St James rai HK40

    Oleh Daniel Lim – 

    BELAIT, 26 FEB – Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-40 (HK40), para pelajar dari Sekolah St James mempamerkan semangat patriotik dengan mengenakan pakaian terbaik dan mengadakan pelbagai persembahan dan aktiviti yang diadakan di sekolah pada pagi tadi.

    Dalam ucapan ringkas, Pemangku Pengetua, Joseph Beriso Sarmiento berkata, “Amat penting untuk meraikan majlis yang bersejarah ini dan hari ini kita akan menyaksikan semangat patriotisme pelajar dilihat melalui persembahan yang telah dilatih oleh mereka selama berminggu-minggu.”

    Beliau berharap majlis itu dapat membantu memeriahkan lagi sambutan di samping menyemai rasa bangga menyambut hari bersejarah itu.

    Selepas ucapan, acara diteruskan dengan persembahan termasuk Perbarisan Pakaian Paling Anggun untuk pelajar Tahun 1, persembahan pentas oleh pelajar Tahun 3, persembahan lagu Brunei Bumi Bertuah oleh pelajar Tahun 9 dan 10 serta Berkibarlah Bendera daripada pelajar Tahun 5.

    Persembahan diselitkan dengan kuiz yang menguji pengetahuan murid tentang bangsa dan sejarahnya bersempena sambutan Hari Kebangsaan.

    Acara juga diserikan dengan pertandingan di mana pelajar menghias basikal bertemakan sambutan Hari Kebangsaan, dengan hadiah disampaikan oleh Pemangku Pengetua kepada tiga basikal terbaik yang dihias.

    Majlis berakhir dengan perarakan kawad kaki oleh ahli pengakap sekolah dan sesi gambar beramai-ramai dengan hiasan sambutan HK-40 dipamerkan sepenuhnya bersama pelajar dan guru sekolah berkenaan.

    Antara pelajar dan guru semasa menyambut acara HK40 yang diadakan di Sekolah St James kelmarin. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda