Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 12 NOV – Seramai 70 orang murid tadika 3 (KG3) Sekolah St Margaret, Seria mengambil langkah pertama dalam perjalanan pendidikan formal setelah diraikan dalam majlis graduasi yang berlangsung di dewan serba guna sekolah berkenaan, kelmarin.
Majlis dihadiri ahli lembaga pengarah sekolah, Marsha Mary Ang Siew Kim yang disambut oleh pengerusi majlis dan penyelia tadika, Monica anak Usit.
Turut hadir ialah ahli-ahli lembaga pengarah yang lain, pengetua, timbalan pengetua serta guru-guru, ibu bapa dan penjaga bagi menyaksikan dan memperingati acara tersebut.
Dalam ucapan perasmiannya, Monica menyatakan rasa syukur kepada lembaga pengarah, serta ibu bapa dan penjaga atas keha-diran dan sokongan mereka yang penting bagi kanak-kanak ketika mereka mengambil langkah pertama yang berkesan ke peringkat pendidikan formal mereka sebagai pelajar sekolah rendah.
“Hasrat kami adalah untuk menyediakan pendidikan awal kanak-kanak yang terbaik dengan terus membentuk, memelihara dan melengkapkan kanak-kanak dengan cara yang terbaik dengan langkah yang paling berkesan untuk memberikan inspirasi kepada pembelajaran sepanjang hayat,” ujarnya.
Susulan ucapannya, majlis diteruskan dengan tujuh persembahan nyanyian dan tarian unik yang menampilkan pelbagai tema yang diketuai oleh murid-murid tadika sekolah itu.
Murid-murid KG3 yang lulus juga menerima sijil daripada tetamu kehormat, yang diakhiri dengan ucapan terima kasih yang disampaikan oleh Awang Muhammad Rahimi bin Mohammad Firdaus dan Awang Muhammad Ammar Aliff bin Mohammad Al-Hakeem masing-masing dalam bahasa Melayu dan Inggeris.





