Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 DIS – Bagi memberikan pendedahan dan pengalaman kepada pemain Akademi Bola Sepak Dash (DFA) serta meningkatkan kesedaran orang awam mengenai keperluan dan kepentingan untuk memberikan sokongan dan dorongan kepada pemain bola sepak di peringkat akar umbi, Kejohanan Bola Sepak Antarabangsa 2022 telah dianjurkan oleh DFA, dengan kerjasama Sekolah Sukan Brunei Darussalam.
Kejohanan yang diadakan dari 17 hingga 18 Disember di Padang Sekolah Sukan Brunei Darussalam itu telah disertai oleh 19 pasukan yang melibatkan seramai 250 orang pemain dari dalam dan luar negara termasuk AT Labuan dan Pekan FC dari Wilayah Persekutuan Labuan serta Sekolah Kebangsaan Merpati Sandakan dari Sabah.
Kejohanan tersebut dibahagikan kepada tiga kategori umur iaitu bawah 10 tahun (B-10), bawah 12 tahun (B-12) dan bawah 14 tahun (B-14) dengan format permainan tujuh sebelah bagi B-10, sembilan sebelah bagi B-12 dan 11 sebelah bagi B-14.
Kejohanan tersebut telah dimenangi oleh Pekan FC (B-10), Sekolah Kebangsaan Merpati Sandakan (B-12) dan pasukan Sekolah Sukan Brunei (B-14). Juara bagi setiap kategori telah menerima hadiah wang tunai, trofi, pingat dan baucar jersi pasukan jenama BN Pitch. Manakala, pasukan yang mendapat tempat kedua, ketiga dan keempat telah menerima hadiah wang tunai dan pingat.
DFA juga telah memberikan anugerah pemain terbaik bagi tahun 2022 kepada pemain-pemain DFA bagi setiap kategori. Pemain-pemain terbaik berkenaan ialah Ahmad Khairuzzaki bin Haji Mohammad Khairul Rijal (bawah lapan tahun), Muhd Zafar ‘Amalee bin Haji Md Rahimin (B-10), Afiq Nuaim bin Shamra (B-12), dan Nur Zharif Hadri bin Noradli (B-14).
Penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Pengetua Sekolah Sukan, Hajah Aisah binti Haji Salleh, Setiausaha Agung DFA, Haji Muhd Ezan Sazali bin Haji Osman, serta wakil-wakil dari Hui Huang Enterprise, BN Pitch dan Kadaba Sports. Ketua Jurulatih DFA, Pengiran Mohd Shahrom bin Pengiran Haji Ismail berkata antara objektif kejohanan itu adalah untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan pemain, jurulatih, ibu bapa dan penjaga DFA, para peniaga tempatan dan juga pasukan dari dalam serta luar negara.
Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas sokongan padu dan hadiah yang telah disumbangkan dalam sama-sama menjayakan kejohanan tersebut.
Menurut beliau lagi, perancangan DFA selanjutnya bagi tahun 2023 adalah mengadakan Pesta Mini Bola Sepak bagi pemain-pemain DFA, menyertai kejohanan-kejohanan bola sepak tempatan dan luar negara, menganjurkan kejohanan bola sepak melibatkan akademi-akademi tempatan pada pertengahan tahun dan seterusnya menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Antarabangsa kali kedua pada peng-hujung tahun melibatkan pasukan tempatan dan luar negara.
Penganjuran kejohanan itu turut disokong oleh Dash Team, SYK, BN Pitch, Hui Huang Enterprise, Kadaba Sports, Laily’s, Hijamahbyaiman, Restoran Soto Mamaku, dan BDAFC.



