Tuesday, December 17, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sekolah Sukan Brunei lancar misi dan visi baharu

    Oleh James Kon

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – Sekolah Sukan petang kelmarin telah melancarkan misi dan visi sukan yang akan menjadi panduan kepada jurulatih dan pelajar untuk mencapai sasaran dalam setiap jenissukan di sekolah tersebut.

    Majlis yang berlangsung di Sekolah Sukan Kampung Pulaie itu dihadiri oleh Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Awang Mohammad Norilham bin Haji Jais selaku tetamu kehormat.

    Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum telah diberi taklimat oleh pelajar mengenai misi dan visi baharu setiap sukan termasuk badminton, bola jaring, bola sepak, karate, olahraga, pencak silat, sepak takraw serta strength dan conditioning.

    Visi baharu sukan badminton adalah untuk melahirkan pemain badminton yang berpotensi mewakili negara di peringkat kebangsaan dan antarabangsa manakala misi terbaharu Sekolah Sukan adalah untuk menjadi pusat latihan badminton yang berkualiti.

    Bagi sukan bola jaring pula, visi baharu adalah untuk menjadi pusat pendidikan dan pembangunan dalam sukan bola jaring manakala misi baharu adalah untuk menyediakan persekitaran latihan yang selamat dan berstruktur bagi menyokong pelajar mencapai potensi mereka serta memberi pengalaman positif.

    Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum mendengar penerangan tentang visi dan misi baharu setiap sukan di Sekolah Sukan daripada pelajar sekolah di Kampung Pulaie, kelmarin.

    Bagi bola sepak, visi baharu adalah untuk melahirkan pemain bola sepak muda yang berkualiti tinggi untuk menjadi sebahagian daripada skuad kebangsaan manakala misinya pula menyediakan program latihan berkualiti tinggi dan memberi impak positif kepada sekolah, persatuan dan masyarakat.

    Manakala visi baharu bagi sepak takraw adalah untuk melahirkan atlet bagi menjayakan skuad kebangsaan dari peringkat belia dan misi baharu adalah untuk menyediakan latihan berkualiti di peringkat pra kebangsaan.

    Bagi pencak silat, visi baharu adalah untuk menjadi komuniti pencak silat yang berbudi bahasa, tolong-menolong, menyemai nilai-nilai murni dalam usaha membangun ke arah kecemerlangan sukan. Misi baharu adalah untuk menjadi pusat prestasi dan pembangunan tinggi dalam pencak silat dengan menggunakan pendekatan dan amalan kejurulatihan terbaik di bawah bimbingan Persatuan Pencak Silat Brunei Darussalam dan Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa.

    Bagi sukan karate, visi baharu adalah untuk menjadi pusat kecemerlangan karate bagi meningkatkan lagi kecekapan mereka dalam karate dan mewakili Brunei dalam semua peringkat pertandingan.

    Misi baharu sukan karate pula untuk membangunkan atlet muda yang bersemangat tinggi dan memperkasakan mereka untuk menjadi pemimpin yang hebat pada masa hadapan.

    Visi baharu bagi sukan olahraga ialah melahirkan atlet muda berkualiti tinggi dalam sukan olahraga Brunei dan misi baharu ialah menyediakan asas latihan mengenai prestasi atlet dengan kerjasama persatuan dan komuniti.

    Sementara strength dan conditioning, visi baharu adalah menjadi pusat kecemerlangan dan pembangunan bagi atlet muda manakala misi baharu adalah untuk menyediakan dan membentuk program kekuatan dan penyesuaian bagi mencapai prestasi tinggi dalam sukan belia.

    Diharapkan dengan adanya visi dan misi baharu ini ia dapat membantu memahami perancangan strategik dan fungsi utama setiap sukan bagi memastikan perancangan program mencapai sasaran yang ditetapkan oleh setiap sukan melalui strategi yang berkesan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda