Friday, March 21, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sekolah sukan dominan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    TUTONG, 26 OGOS – Sekolah Sukan mendominasi peringkat akhir Kejohanan Sepak Takraw Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab-maktab Senegara 2019 apabila berjaya menjuarai kedua-dua kategori yang dipertan-dingkan kali ini.

    Final Kategori B Bawah-15 Tahun yang berlangsung di Dewan Serba guna Kompleks Sukan Tutong pagi tadi menyaksikan Pasukan Sekolah Sukan berjaya menewaskan Pasukan Sekolah Menengah Pengiran Isteri Hajjah Mariam, Serasa 2-0.

    Sementara itu, dalam perlawanan akhir Kategori C Bawah 18 Tahun, Pasukan Sekolah Sukan berjaya menjinakkan Pasukan Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali 2-1 (21-13, 17-21 dan 21-9).

    Pada kejohanan kali ini, Awang Mohd Asllyi bin Haji Asmali dari Sekolah Sukan telah diumumkan sebagai Pemain Terbaik Kategori B manakala Awang Mohd Nur Nabihan Ajaim bin Faizal, juga dari Sekolah Sukan telah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Kategori C.

    Kategori B dan C pada kejohanan kali ini masing-masing menyaksikan penyertaan daripada 12 buah sekolah.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada perlawanan akhir pagi tadi dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Umarali bin Esung.

    Turut hadir ialah para pengetua, timbalan-timbalan pengetua sekolah yang terlibat, para pegawai daripada Jabatan Pendidikan Kokurikulum dan juga guru-guru pengawas pasukan yang menyertai kejohanan.

    Kejohanan ini diadakan sebagai salah satu projek tahunan Jabatan Pendidikan Kokurikulum Kementerian Pendidikan untuk menjalin hubungan silaturrahim di kalangan para pelajar sekali gus mengembangkan daya saing secara sihat dalam kalangan pelajar.

    Kejohanan tahun ini dikendalikan oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum Cawangan Daerah Tutong selaku tuan rumah.

    Pasukan Sekolah Sukan bergambar bersama pingat dan piala yang dimenangi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda