Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Nov – Pelajar Sekolah Sunshine Tadika 3 dan Tahun 6, telah diraikan dalam Majlis Graduasi dan Anugerah Cemerlang dalam Akademik kali ke-39, baru-baru ini di Dewan Damai, Aman Hills.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis itu dan seterusnya menyampaikan anugerah dan hadiah kepada pelajar yang diraikan ialah Pengarah Urusan Sekolah Sunshine, Chan Fui Meng.
Di majlis itu, Pengetua Sekolah Sunshine, Tan Lay Kim dalam ucapan alu-aluannya antara lain mengongsikan pencapaian akademik pelajar yang mendapat 100 peratus lulus dalam peperiksaan Pernilaian Sekolah Rendah (PSR) 2024.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada semua pelajar atas pencapaian mereka dan mengucapkan terima kasih kepada semua guru atas usaha keras dan dedikasi serta komitmen yang tidak berbelah bahagi.
Beliau menekankan bahawa Sekolah Sunshine mengutamakan pendidikan holistik di mana pelajar dibesarkan secara fizikal, emosi, nilai moral, psikologi, dan spiritual di samping perkembangan akademik atau intelektual.
Katanya lagi, “Dengan cara ini, kami akan dapat menghasilkan pemimpin masa depan dan tenaga kerja yang berkualiti selaras dengan Wawasan 2035.”
Beliau juga mengumumkan bahawa bangunan sekolah baharu telah siap dan terdapat besar kemungkinan pelajar akan memulakan tahun sekolah baharu mereka di bangunan Sekolah Sunshine yang baru pada tahun 2025.
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan oleh pelajar Tadika 1 dan Tadika 2.